Bekalan beras Sabah stabil, kerajaan ambil langkah proaktif pastikan kelancaran agihan

Belakan beras Sabah
KOTA KINABALU, 18 Mac 2026 – Bekalan beras di Sabah dilaporkan berada pada tahap stabil dan mencukupi, susulan pemantauan yang dijalankan di pusat simpanan utama di Kolombong, semalam.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, YB Datuk Jamawi Jaafar berkata, tinjauan tersebut dilakukan bersama Pengurus Besar Lembaga Padi dan Beras Sabah, Datuk Dr Ramle Hj Kasin serta pegawai BERNAS Sabah.
Menurut beliau yang juga ADUN Melalap, hasil pemantauan mendapati stok beras di negeri ini masih mencukupi bagi menampung keperluan semasa.
“Bekalan beras adalah stabil dan mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan arahan telah diberikan agar penghantaran bekalan beras putih import (BPI) harga mampu milik dipercepatkan serta-merta, khususnya ke beberapa daerah pedalaman.
Antara kawasan yang terlibat termasuk Keningau, Sook, Tenom/Kemabong serta Sipitang, dengan penghantaran dijangka dilakukan dalam kuantiti yang besar bermula semalam.
Langkah tersebut diambil bagi memastikan bekalan terus lancar serta mengelakkan sebarang gangguan di peringkat pengguna. Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak melakukan pembelian panik kerana bekalan beras masih berada dalam keadaan terkawal.
“Semoga bekalan beras akan pulih seperti sebelum ini dan elakkan pembelian panik,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *