Menyamar Sebagai Polis China, Sindiket Antarabangsa Tumpas Di Tawau

Taktik licik sindiket antarabangsa penipuan dalam talian yang menjadikan sebuah resort di sini sebagai ‘markas’ operasi terbongkar selepas diserbu polis dalam operasi bersepadu, malam tadi.

Dalam serbuan kira-kira jam 9.20 malam itu, seramai 80 individu ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan berkenaan. Operasi dijalankan oleh Bahagian Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) IPK Sabah dengan kerjasama BSJK Tawau, Sandakan dan Keningau.

Menurut sumber, tangkapan membabitkan 78 warga China termasuk empat wanita, serta masing-masing seorang warga Myanmar dan Laos berusia antara 17 hingga 46 tahun. Sindiket berkenaan dipercayai memasuki Sabah sejak tiga bulan lalu dan menjalankan penipuan secara dalam talian dengan menyamar sebagai anggota polis dari China.

Baca Juga:

Difahamkan, sasaran utama mereka adalah warga Amerika Syarikat berketurunan Cina, manakala lokasi serbuan digunakan sebagai pusat operasi lengkap termasuk tempat kerja, latihan dan penginapan.

Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut merampas pelbagai barangan seperti telefon bimbit, komputer, skrip, pasport, modem, sepanduk serta pakaian seragam polis China.

Seramai 77 suspek dibawa ke Mahkamah Majistret untuk permohonan reman, manakala tiga lagi yang dirawat di hospital turut direman selama tiga hari. Permohonan reman oleh Siti Dayana Adillah diluluskan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.

Bagaimanapun, enam suspek termasuk seorang warga Laos dibebaskan namun masih diperlukan bagi membantu siasatan lanjut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *