TAWAU, 11 April 2026 – Tindakan pantas Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau berjaya menggagalkan satu aktiviti penyelewengan bahan api dengan rampasan sebanyak 30,800 liter minyak diesel yang dianggarkan bernilai lebih RM1.16 juta, dalam operasi pada Jumaat.
Dalam kenyataan pada Sabtu, PPM Wilayah 4 Sabah memaklumkan kejayaan tersebut adalah hasil maklumat awam serta operasi risikan yang dijalankan di sekitar Jalan Sin San.
Menurut kenyataan itu, pasukan PPM telah mengekori sebuah lori 21 tan yang mencurigakan sebelum ia memasuki sebuah gudang tertutup di kawasan berkenaan.
“Hasil pemantauan mendapati berlakunya aktiviti pemindahan minyak diesel secara tidak sah di lokasi tersebut,” katanya.
Pemeriksaan lanjut menemukan tiga buah lori, tiga unit tangki skid serta 10 tong drum yang dipercayai digunakan dalam kegiatan penyelewengan bahan api berkenaan.
Seorang lelaki tempatan turut ditahan bagi membantu siasatan, dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Pihak berkuasa menegaskan akan terus mempergiat operasi bagi membanteras kegiatan penyeludupan dan penyelewengan bahan api yang merugikan negara.
#TawauKini







