KUALA LUMPUR, 11 April 2026 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri supaya segera mencari penyelesaian terhadap isu murid di Sekolah Kebangsaan Balaban Jaya yang terpaksa belajar dalam keadaan serba kekurangan.
Menurut beliau, situasi berkenaan amat mengesankan apabila pelajar dilaporkan terpaksa mengikuti sesi pembelajaran di bawah khemah serta di kaki lima masjid.
“Perkara sebegini cukup mengesankan. Arahan telah diberikan kepada KPM dan ICU untuk penyelesaian segera.
“Keselesaan dan kebajikan anak-anak dalam menuntut ilmu mesti diberi perhatian utama dan tindakan segera wajib dilaksanakan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Perkara itu mendapat perhatian selepas laporan media mengenai keadaan sekolah berkenaan yang terjejas akibat kerosakan infrastruktur, dipercayai berpunca daripada pergerakan tanah dan cerun sehingga kawasan sekolah tidak lagi selamat digunakan.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tham Yun Fook turut menggesa pihak berkuasa agar segera mengambil tindakan terhadap isu tersebut.
Beliau mendedahkan, murid ketika ini terpaksa belajar di lokasi sementara yang tidak sesuai termasuk di kawasan masjid, laluan pejalan kaki serta di bawah khemah yang terdedah kepada hujan dan panas.
“Keadaan ini amat menyentuh hati apabila melihat anak-anak kita terpaksa belajar dalam situasi sedemikian,” katanya.
Isu ini sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai keadaan infrastruktur pendidikan di Sabah, khususnya di kawasan luar bandar yang masih berdepan cabaran asas sehingga menjejaskan proses pembelajaran pelajar.
#TawauKini




