Tiga projek pembangunan bernilai lebih RM1 juta dilaksanakan di Kolej Tingkatan Enam (Pra Universiti) Tawau bagi meningkatkan kemudahan dan keselesaan kira-kira 1,000 pelajar di institusi berkenaan.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Lo Su Fui, berkata projek terbabit meliputi pembinaan dewan terbuka, penambahan tempat letak kereta serta pembangunan ‘pump house’ bagi menambah baik bekalan air di kolej berkenaan.
Beliau berkata, pelaksanaan projek itu adalah hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk Pejabat Parlimen Tawau, kerajaan negeri Sabah serta sumbangan sektor swasta.

“Pendidikan adalah sektor paling penting kerana ia menjadi jaminan masa depan dan pembinaan modal insan.
“Semua kita datang dari sekolah, jadi jika ada kekurangan kemudahan atau masalah yang tidak diselesaikan, ia akan menjejaskan kualiti pembelajaran pelajar,” katanya.
Justeru, katanya, semua pihak perlu bertindak secara proaktif dengan mengutamakan keperluan institusi pendidikan dan mencari peruntukan mencukupi untuk melaksanakan Pembangunan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tawau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kolej Tingkatan Enam Tawau, di sini, hari ini.
Turut hadir, Yang Dipertua PIBG, Kolej Tingkatan Enam Tawau, Amir Kanje dan Pengetua Kolej Tingkatan Enam Tawau, Dr. Rabe Juhari.
Datuk Lo Su Fui berkata, kejayaan pelaksanaan projek berkenaan turut didorong oleh komitmen pihak pengurusan kolej dan PIBG yang aktif menyuarakan keperluan serta mencadangkan penyelesaian terhadap isu dihadapi.
“Saya ingin mengucapkan syabas kepada pengetua dan Yang Dipertua PIBG kerana bertungkus-lumus memperjuangkan pembangunan kolej ini demi keselesaan pelajar,” katanya.
Menurutnya, pendekatan kolaboratif antara pihak sekolah, wakil rakyat dan komuniti penting bagi memastikan segala kekangan dapat ditangani secara berkesan.
Beliau berkata, usaha berterusan itu diharap mampu meningkatkan persekitaran pembelajaran yang kondusif sekali gus melahirkan pelajar berkualiti dan berdaya saing.




