Suarakan isu air dan rasuah guna nama UMS – Kumpulan mahasiswa terima notis perundangan dari UMS

Suarakan isu air dan rasuah guna nama UMS - Kumpulan mahasiswa terima notis perundangan dari UMS

KOTA KINABALU, 19 April 2026 – “Ini tindakan pengecut. Selama bertahun-tahun krisis air menghantui warga UMS, pengurusan tertinggi universiti tidak pernah terfikir mengambil tindakan undang-undang terhadap Jabatan Air Negeri Sabah, namun hari ini mereka mahu mengambil tindakan perundangan terhadap mahasiswa yang bersuara mengenainya.” Demikian tegas Presiden Suara Mahasiswa UMS, Fidaa’ Bin Ahmad Fahmi ketika dihubungi wartawan TawauKini susulan notis cease and desist yang diterima gerakan mahasiswa itu daripada Universiti Malaysia Sabah.

Dalam satu sidang media tergempar pada Sabtu, Suara Mahasiswa UMS mendakwa menerima notis daripada Pejabat Penasihat Undang-Undang UMS pada 15 April lalu yang mengarahkan mereka memadam semua hantaran media sosial serta menghentikan penggunaan nama dan logo universiti dalam tempoh 24 jam. Kumpulan itu menyifatkan tindakan berkenaan sebagai cubaan menekan suara mahasiswa yang selama ini lantang membangkitkan isu kebajikan kampus termasuk gangguan bekalan air dan integriti institusi.

Menurut kenyataan rasmi mereka, Suara Mahasiswa UMS yang telah bergerak hampir 11 tahun sejak 2015 menegaskan mereka tidak akan akur dengan arahan tersebut kerana percaya kebebasan bersuara mahasiswa dilindungi di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan. Mereka turut mempersoalkan mengapa tindakan hanya dikenakan terhadap kumpulan itu sedangkan beberapa gerakan mahasiswa lain yang turut menggunakan nama UMS tidak menerima notis serupa.

Suara Mahasiswa UMS mendakwa tindakan itu timbul selepas dua hantaran diterbitkan awal bulan ini yang menyentuh isu “Tangkap Azam Baki bukan Tangkap Aktivis” serta krisis air bersih di kampus. Mereka berpendapat penggunaan nama dan logo universiti hanya bertujuan menunjukkan identiti sebagai warga kampus dan bukannya mewakili pendirian rasmi pentadbiran universiti.

Dalam sidang media tergempar itu, kumpulan berkenaan menuntut agar pihak universiti menarik balik notis tersebut tanpa syarat, mengadakan dialog terbuka dalam tempoh 14 hari, serta menilai semula peraturan yang didakwa boleh menyekat kebebasan bersuara mahasiswa di institusi pengajian tinggi.

Muat Turun – SIDANG MEDIA TERGEMPAR SUARA MAHASISWA (2)

#TawauKini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *