Pesta ‘membazir air’ ketika Kota Kinabalu mengalami krisis air bersih – Aliakbar

Pesta ‘membazir air’ ketika Kota Kinabalu mengalami krisis air bersih - Aliakbar

KOTA KINABALU, 20 April 2026 – Penganjuran program Songkran Splash Run di Kota Kinabalu mencetuskan perdebatan apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan turut mempersoalkan penggunaan air dalam acara berkenaan ketika beberapa kawasan sekitar Kota Kinabalu dan Sepanggar masih berdepan gangguan bekalan air.

Menurut beliau, pesta berkonsepkan percikan air itu menimbulkan pelbagai persoalan khususnya melibatkan penggunaan air dalam jumlah besar ketika masyarakat di beberapa lokasi masih berhadapan masalah bekalan, terutama dalam keadaan cuaca kering yang dijangka boleh memanjangkan lagi gangguan.

Aliakbar berkata, situasi itu boleh menimbulkan persepsi seolah-olah berlaku pembaziran air apabila terdapat lori tangki dihantar bagi menjayakan acara berkenaan, sedangkan sebahagian penduduk masih bergelut mendapatkan bekalan harian.

Beliau turut memohon pihak penganjur serta pihak berkuasa tempatan, termasuk Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), supaya lebih peka terhadap sensitiviti rakyat dan memastikan perkara seumpama itu tidak berulang pada masa akan datang.

Sementara itu, penganjur program, KSRun Athletic Club, menjelaskan bahawa air yang digunakan sepanjang acara tersebut dibeli khas menggunakan peruntukan program dan bukannya diperoleh secara percuma seperti didakwa di media sosial.

Menurut penganjur, festival berkenaan telah dirancang lebih enam bulan lebih awal serta mendapat permit dan kelulusan rasmi daripada pihak berkuasa sebelum dilaksanakan.

Pihak penganjur turut menegaskan penggunaan air dalam acara itu tidak mempunyai kaitan dengan isu gangguan bekalan air semasa atau sebarang sentimen politik, malah semua kos pembelian air direkodkan secara telus bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan masyarakat.

Mereka berharap penjelasan itu dapat meredakan kekeliruan orang ramai sambil menegaskan komitmen untuk memastikan setiap program dianjurkan secara bertanggungjawab.

#TawauKini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *