Kerajaan negeri merancang untuk membangunkan semula Kampung Bahagia yang musnah dalam kebakaran awal pagi semalam sebagai sebuah perkampungan sah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata perincian pelaksanaan belum dapat diumumkan kerana kerajaan perlu meneliti laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sandakan terlebih dahulu.
Antara cadangan dipertimbangkan, katanya termasuk usaha menambak kawasan berkenaan bagi tujuan pembangunan perumahan baharu.

“Kita ada perancangan untuk bangunkan kawasan ini sebagai perkampungan sah. Namun, kita perlu mendapatkan laporan lengkap daripada jawatankuasa bencana daerah bagi menilai cadangan dikemukakan.
“Cadangan termasuk menimbus kawasan ini untuk kita bangunkan rumah nanti, tetapi ini melibatkan kos yang agak banyak dan perlu diteliti.
“Laporan penuh dan terperinci mengenai jumlah sebenar mangsa serta situasi semasa dijangka diperoleh dalam tempoh satu hingga dua minggu akan datang daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Sandakan,” katanya.
Hajiji berkata, cadangan penempatan semula Kampung Bahagia sedang dipertimbangkan, namun keputusan muktamad hanya akan dibuat selepas semua laporan dan cadangan alternatif diterima serta dinilai.
Katanya, kampung berkenaan awalnya adalah penempatan pelarian yang mendapat kelulusan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Saya difahamkan lebih 70 peratus yang terbabit (dalam kebakaran) adalah bukan warganegara. Hanya 30 peratus sahaja (warganegara).
Bagaimanapun, Hajiji menegaskan kerajaan negeri akan tetap menyalurkan bantuan kepada semua mangsa tanpa mengira status kewarganegaraan sebagai tanda keprihatinan.
Dalam pada itu, Hajiji memaklumkan sebanyak enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka bagi menempatkan mangsa kebakaran sementara proses pemulihan dijalankan.
Mengenai bantuan, Hajiji berkata sebagai permulaan RM2,000 akan diberikan kepada mangsa kebakaran iaitu RM1,000 daripada kerajaan negeri, manakala RM1,000 lagi daripada Yayasan Kebajikan Sabah.




