TAWAU, 23 April 2026 – Tiga remaja lelaki berusia antara 15 hingga 16 tahun ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kes rogol membabitkan seorang pelajar perempuan di kawasan Merotai, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin bin Hussin berkata, semua suspek diberkas sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai di perkarangan Pondok Polis Merotai kira-kira jam 6.50 petang.
Menurut beliau, tangkapan dibuat kurang 24 jam selepas ibu mangsa membuat laporan polis pada jam 4.43 petang.
Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku Ahad lalu selepas mangsa yang merupakan pelajar tingkatan tiga dibawa seorang suspek, yang juga pelajar tingkatan lima, menaiki sebuah kereta ke sebuah rumah sebelum dipercayai dirogol.
Kes itu terbongkar selepas mangsa menceritakan kejadian berkenaan kepada guru kaunseling sekolah sebelum perkara tersebut dimaklumkan kepada ibunya.
“Dua lagi rakan suspek turut ditahan kerana dipercayai bersubahat ketika kejadian berlaku, selain mangsa mendakwa dimalukan serta diejek dengan kata-kata tidak senonoh oleh rakan-rakan suspek di sekolah setiap hari.”
Kesemua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. Sekiranya didakwa, peruntukan tersebut menetapkan hukuman bagi kesalahan merogol dan pesalah boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebat.
“Pihak polis memandang serius penglibatan mana-mana individu yang bersubahat dalam jenayah seksual dan tidak akan berkompromi dengan perbuatan keji tersebut,” tegasnya.
Beliau berkata, siasatan akan dijalankan secara menyeluruh bagi memastikan tindakan tegas diambil terhadap semua yang terlibat.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya sentiasa memantau pergerakan serta pergaulan anak-anak terutama di luar waktu persekolahan.
“Ibu bapa perlu peka dengan perubahan tingkah laku anak-anak dan mengetahui dengan siapa mereka berkawan. Kerjasama erat antara pihak sekolah dan masyarakat amat penting bagi membendung gejala sosial dalam kalangan remaja sebelum ia menjadi lebih parah,” katanya lagi.
Sumber : Polis Daerah Tawau
#TawauKini




