KOTA KINABALU, 22 April 2026 – Presiden United Sabah National Organisation (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia, secara rasmi meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah serta semua jawatan berkaitan kerajaan.
Keputusan itu dimaklumkan sendiri oleh beliau dalam satu pertemuan bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS, pada 21 April lalu.
Susulan itu, Mesyuarat Ahli Majlis Eksekutif Tertinggi (AMET) USNO pada 22 April sebulat suara turut memutuskan bahawa parti berkenaan akan keluar daripada gabungan GRS.
Menurut sumber parti, keputusan tersebut dibuat selepas USNO mendapati sudah tidak lagi wujud keserasian dalam aspek pentadbiran serta hala tuju dasar kerajaan negeri, khususnya selepas Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah ke-17.
USNO dalam kenyataannya menegaskan parti itu akan terus kekal sebagai sebuah parti politik yang berteraskan perjuangan pribumi tempatan Sabah, selain komited memainkan peranan sebagai semak dan imbang demi kepentingan rakyat negeri ini.
“USNO akan terus memperjuangkan aspirasi rakyat yang selama ini termarginalisasi dan memastikan suara mereka terus dibawa ke hadapan,” menurut kenyataan itu.
Dalam masa sama, parti berkenaan turut merakamkan penghargaan kepada Hajiji serta semua parti komponen GRS atas kerjasama yang telah terjalin sebelum ini.
Perkembangan itu dilihat bakal memberi kesan terhadap landskap politik Sabah menjelang pilihan raya negeri akan datang, apabila USNO kini dijangka mengambil pendirian lebih bebas dalam menentukan hala tuju politiknya selepas ini.
#TawauKini


