357 kes Malaria Monyet direkodkan, Tawau antara daerah ‘hotspot’ penularan

malaria monyet

Sabah mencatatkan 357 kes malaria monyet dan satu kematian dalam tempoh empat bulan pertama 2026, sekali gus mencetuskan kebimbangan.

Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad, berkata kawasan seperti Ranau, Kudat dan Tawau dikenal pasti sebagai hotspot penularan.

“Situasi ini agak serius. Kita tidak boleh memandang ringan perkara ini,” katanya.

Beliau menjelaskan, jangkitan berlaku apabila parasit dipindahkan daripada monyet kepada manusia melalui gigitan nyamuk dan peningkatan kes dikaitkan dengan pencerobohan manusia ke habitat hidupan liar.

“Bukan monyet yang menyerang kita, tetapi kita yang mengambil alih habitat mereka,” tambahnya.

Sementara itu, Professor Dr Jenarun Jelip berkata gejala utama ialah demam berulang setiap 12 jam, 36 jam atau 72 jam, disertai dengan perasaaan menggigil dan berpeluh.

Golongan berisiko termasuk mereka yang bekerja di hutan atau terlibat dalam aktiviti luar. Rawatan biasanya mengambil masa beberapa hari hingga dua minggu, dan pesakit digesa mendapatkan rawatan segera.

Dr. Dzulkefly turut menekankan kepentingan pengurusan alam sekitar dan sisa yang lebih baik bagi mengurangkan risiko penularan penyakit ini.