UMNO wajar mempertimbangkan kerjasama strategik dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai langkah memperkukuh kedudukan parti itu menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Salleh Said Keruak berkata, pendekatan itu penting bagi mengelakkan perpecahan undi, sekali gus meningkatkan peluang kemenangan dalam sistem pilihan raya negara yang berasaskan ‘first-past-the-post’.
Menurutnya, landskap politik semasa menuntut parti-parti yang mempunyai matlamat seiring untuk bekerjasama, bukannya bertembung sesama sendiri.

“Kerjasama dengan GRS perlu dilihat secara strategik kerana banyak isu tempatan kini semakin selari dengan platform gabungan itu.
“Jika disusun dengan baik termasuk dari segi pengagihan kerusi, ia boleh menjadi kunci kejayaan dalam pilihan raya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa UMNO kini berada di persimpangan penting sempena ulang tahun ke-80 parti itu pada 11 Mei ini, yang menuntut bukan sahaja muhasabah terhadap legasi, tetapi juga keberanian melakukan perubahan strategik.
“Cabaran hari ini bukan lagi soal sejarah, tetapi impak. Kita perlu menilai sama ada UMNO masih mampu mempengaruhi keputusan pilihan raya secara berkesan,” katanya.
Dalam pada itu, Salleh berkata setiap keputusan yang dibuat perlu berpaksikan strategi dan data, bukannya sentimen semata-mata.
“Kita perlu melihat kekuatan sebenar di peringkat akar umbi serta realiti semasa sebelum membuat keputusan. Pendekatan berasaskan emosi tidak lagi relevan dalam politik hari ini,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata perubahan sikap pengundi yang kini lebih matang dan berorientasikan isu seperti kos sara hidup, integriti serta tadbir urus yang baik turut memerlukan parti menyesuaikan pendekatan.
“Pengundi hari ini menilai berdasarkan isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka. Ini perlu diberi perhatian serius oleh semua parti,” katanya.
Selain Sabah, beliau turut mencadangkan pendekatan pragmatik di Sarawak dengan memberi sokongan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) selaras dengan realiti politik di negeri itu.
Salleh Keruak bagaimanapun yakin UMNO masih berupaya kekal relevan sekiranya mengambil pendekatan strategik yang tepat serta memperkukuh kerjasama dengan rakan politik yang sesuai.
“UMNO telah melalui perjalanan panjang selama 80 tahun. Namun masa depannya bergantung kepada sejauh mana kita mampu menyesuaikan diri dengan perubahan landskap politik semasa,” katanya.