KOTA KINABALU – Tiga projek air utama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) kini menunjukkan perkembangan positif dalam usaha menyelesaikan isu bekalan air di Tawau.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Joachim Gunsalam, berkata projek Skim Bekalan Air Tawau Fasa III bernilai RM470 juta telah mencapai 91.47 peratus kemajuan dan dijangka siap Oktober 2027.
Sementara itu, Loji Rawatan Air (LRA) Cinta Mata 2 bernilai RM335 juta kini berada pada tahap 10.15 peratus dan dijangka siap Julai 2028. Projek paip dan tangki simpanan bernilai RM236.68 juta pula akan bermula pada suku keempat 2027 sebagai pelengkap sistem.
Dalam tempoh lima tahun, kira-kira 100 kilometer paip usang telah diganti dengan kos lebih RM40 juta, manakala keseluruhan rangkaian paip di Sabah kini mencecah 16,244 kilometer.
Bagi bekalan elektrik, sekitar 80 peratus tenaga dijana daripada gas asli. Margin simpanan tenaga meningkat kepada 21 peratus berbanding kurang 10 peratus pada 2023, dan dijangka naik ke 27 peratus dengan siapnya loji gas 100MW di Kimanis.
Dua lagi loji gas 200MW turut diluluskan, yang dijangka mengurangkan penggunaan diesel dan MFO kepada bawah 1.5 peratus. Negeri ini juga menyasarkan 50 peratus tenaga boleh baharu menjelang 2035, dengan kapasiti semasa 236MW.
Dalam perkembangan lain, projek naik taraf jambatan Kampung Linggan 2 dijadual siap 5 Mei 2027, manakala projek Jambatan Buang Sayang Papar 2 kini di peringkat perancangan.
Selain itu, 19 sistem amaran awal cerun telah dipasang di seluruh Sabah bagi meningkatkan aspek keselamatan.