Sabah catat 1,403 insiden kebakaran setakat April tahun ini

kebakaran

Tawau, 29 April – Sabah mencatat 1,403 kes kebakaran dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, dipengaruhi cuaca panas berpanjangan.

Menurut Penolong Pengarah Operasi JBPM Sabah, Muhammad Taquidddin Victor Doon, majoriti kes melibatkan kebakaran terbuka dengan 863 kes (61%), termasuk belukar dan lalang (551 kes), hutan (233), sampah (51) serta kebun atau ladang (28).

Beliau berkata keadaan kering akibat kurang hujan menjadikan bahan seperti rumput dan kayu mudah terbakar, manakala tiupan angin semasa Monsun Barat Daya mempercepatkan api merebak.

Walaupun cuaca menjadi faktor, kebanyakan insiden berpunca daripada manusia seperti pembakaran terbuka, puntung rokok dan kecuaian penggunaan elektrik.

JBPM Sabah kini meningkatkan pemantauan serta kesiapsiagaan di kawasan berisiko, selain memperkukuh kesedaran melalui program komuniti.

Dalam perkembangan sama, kebakaran di Jalan Bokara, Kampung Karamunting, Sandakan memusnahkan kira-kira 30 rumah, menjadikannya kejadian kedua dalam tempoh kurang sebulan selepas tragedi Kampung Bahagia pada 19 April yang memusnahkan 1,000 rumah dan menjejaskan lebih 9,000 penduduk.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *