Hasrat seorang remaja lelaki meluangkan masa bersama rakan-rakan di kawasan air terjun berakhir tragedi apabila dia ditemukan lemas di Rainforest Waterfall, Taman Perwira, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa dikenali sebagai Muhammad Aiman Shahrizat, 14, dikatakan mandi bersama 13 rakannya sebelum tiba-tiba hilang dari pandangan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.45 petang sebelum sepasukan anggota bersama Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Zon Tawau digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, lokasi kejadian terletak kira-kira 21 kilometer dari balai bomba selain mempunyai masalah liputan komunikasi yang terhad.
Bagaimanapun, mangsa berjaya ditemukan oleh orang awam dan penduduk kampung beberapa minit sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.
“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai tidak tahu berenang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia pada jam 6.38 petang.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.05 malam.