TAWAU – Satu gempa bumi kuat bermagnitud 7.9 dilaporkan berlaku di Mindanao, Filipina pada jam 7.37 pagi, 8 Jun 2026, dengan gegaran turut dirasai di beberapa kawasan di pantai timur Sabah termasuk Tawau dan Semporna.
Menurut maklumat awal yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), gempa bumi itu berlaku pada koordinat 5.7° Utara dan 125.1° Timur, kira-kira 97 kilometer selatan Koronadal City, Filipina, pada kedalaman 50 kilometer.
Beberapa penduduk di Tawau, Semporna dan kawasan sekitarnya dilaporkan merasai gegaran yang berlaku selama beberapa saat, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan orang ramai.

Bagaimanapun, setakat ini belum ada laporan rasmi mengenai kerosakan atau kecederaan akibat kejadian tersebut.
MET Malaysia memaklumkan pihaknya sedang memantau perkembangan gempa bumi berkenaan dan akan mengeluarkan maklumat terkini dari semasa ke semasa.
Orang ramai yang merasai gegaran akibat gempa bumi ini turut diminta membantu pihak berkuasa dengan mengisi borang soal selidik yang disediakan bagi tujuan pengumpulan data dan pemantauan.
Pautan borang soal selidik:
Penduduk dinasihatkan agar sentiasa mengikuti maklumat rasmi daripada MET Malaysia dan tidak menyebarkan maklumat yang tidak disahkan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Sumber : MET Malaysia