TAWAU – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) mengarahkan semua masjid dan surau di seluruh Sabah mengadakan Solat Hajat Khas Mohon Dijauhkan Bala Bencana dan Musibah susulan fenomena cuaca yang tidak menentu serta potensi berlakunya gempa bumi dan tsunami.
Menurut Pengarah JHEAINS, Datuk Awang Juri Ag Tahir melalui satu pekeliling bertarikh 8 Jun 2026, Solat Hajat Khas tersebut akan diadakan pada 8 Jun 2026 (Isnin malam Selasa) selepas solat fardu Isyak di seluruh masjid dan surau di Sabah.
JHEAINS memaklumkan langkah itu diambil sebagai usaha memohon perlindungan Allah SWT serta memupuk kesedaran dalam kalangan umat Islam agar sentiasa memperkukuhkan keimanan dan ketakwaan dalam menghadapi sebarang ujian.

Selain itu, jabatan berkenaan turut menyeru umat Islam agar menjauhi perkara-perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah SWT serta memperbanyakkan doa dan amal ibadah.
“Semoga tindakan ini menjadi salah satu ikhtiar kita untuk mendapat keredaan-Nya serta memberikan keamanan kepada seluruh masyarakat dan negeri Sabah agar dijauhkan daripada bala bencana,” menurut pekeliling tersebut.
Arahan itu dikeluarkan pada hari yang sama selepas gempa bumi kuat bermagnitud 7.9 yang berlaku di Mindanao, Filipina pada pagi Isnin, dengan gegaran dilaporkan turut dirasai di beberapa kawasan di pantai timur Sabah termasuk Tawau dan Semporna.
JHEAINS turut meminta semua Pejabat Tadbir Agama Daerah (PTAD) menyelaras pelaksanaan Solat Hajat Khas tersebut di kawasan masing-masing.
Sumber: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS)