Liew Yun Fah dilantik terajui TDA, pengiktirafan buat anak Sabah

Liew Yun Fah dilantik terajui TDA, pengiktirafan buat anak Sabah

KOTA KINABALU: Pelantikan Tan Sri Liew Yun Fah sebagai Pengerusi Technology Depository Agency (TDA) dilihat sebagai satu penghormatan besar kepada anak Sabah, selain menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh pembangunan ekonomi negeri berteraskan teknologi serta inovasi.

Liew berkata, kepercayaan yang diberikan untuk menerajui agensi strategik berkenaan membuktikan keyakinan kerajaan terhadap kemampuan anak Sabah dalam memimpin agenda pembangunan ekonomi negara yang berasaskan teknologi.

Menurut beliau, pelantikan itu bukan sekadar pengiktirafan terhadap dirinya secara peribadi, malah mencerminkan penghargaan terhadap kebolehan rakyat Sabah untuk menerajui bidang teknologi, inovasi dan pengkomersialan hasil penyelidikan.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Ketua Menteri II yang juga Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, di sini, hari ini.

Liew turut menyatakan bahawa Sabah mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai hab ekonomi berasaskan teknologi dengan memanfaatkan sektor seperti ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), tenaga hijau, bioteknologi serta industri berteraskan inovasi.

Katanya, kerjasama yang kukuh antara kerajaan, institusi pengajian tinggi dan sektor swasta mampu mempercepat proses pemindahan teknologi, menarik lebih banyak pelaburan dan membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat negeri ini.

Beliau menegaskan, pengukuhan ekosistem inovasi perlu terus diperkasakan bagi memastikan Sabah kekal berdaya saing dalam ekonomi masa depan, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat serta menyokong pembangunan negeri secara mampan.

– Sabah Media