KOTA KINABALU – Penganjuran Sabah MotoDay 9.0 yang dijadual berlangsung pada 5 dan 6 September 2026 telah ditunda kepada 12 dan 13 September 2026 bagi memberi peluang kepada lebih ramai peminat sukan dua roda menghadiri program berkenaan.
Perubahan tarikh itu diumumkan menerusi satu kenyataan media bersama oleh Skuad Antidadah Sabah dan Kelab Dua Roda Bersatu Sabah.
Menurut kenyataan itu, keputusan berkenaan dibuat selepas pihak penganjur menerima pelbagai cadangan serta maklum balas positif daripada komuniti peminat motosikal yang berharap tarikh program diselaraskan semula bagi membolehkan penyertaan yang lebih meluas.

Program yang memasuki edisi kesembilan itu akan berlangsung di Kawasan Parkir Kereta, Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu, manakala majlis perasmian dijadual disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, pada Ahad, 13 September 2026.
Sabah MotoDay 9.0 akan terus mengekalkan konsep penganjuran yang sama dengan pelbagai pengisian menarik termasuk ceramah keselamatan jalan raya, perkongsian ilmu, pengisian rohani, khidmat masyarakat serta aktiviti sukan dan gaya hidup sihat.
Selain menjadi platform menghimpunkan komuniti peminat motosikal dari seluruh Sabah, program itu turut membawa mesej kesedaran antidadah kepada masyarakat selaras dengan usaha memperkukuhkan agenda pencegahan dadah.
Lebih menarik, penganjuran kali ini juga akan menyaksikan Majlis Penutupan Jerayawara Jelajah Aspirasi Bebas Dadah anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sabah bersama Skuad Dua Roda Antidadah Sabah.

Sehubungan itu, pihak penganjur menyeru semua peminat sukan dua roda hadir beramai-ramai bagi memeriahkan Sabah MotoDay 9.0 serta memanfaatkan pelbagai aktiviti yang telah disediakan.
Pada masa sama, peserta dan pengunjung diingatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya serta mengutamakan keselamatan ketika menunggang dan memandu sepanjang menghadiri program tersebut.
Penganjur berharap Sabah MotoDay 9.0 akan terus menjadi platform penyatuan komuniti dua roda di negeri ini, di samping memperkukuhkan kesedaran masyarakat terhadap bahaya dadah, keselamatan jalan raya dan amalan gaya hidup sihat.