Lo Su Fui: Projek Tebatan Banjir Tawau Dipercepat, Tidal Gate Penyelesaian Jangka Panjang

Lo Su Fui: Projek Tebatan Banjir Tawau Dipercepat, Tidal Gate Penyelesaian Jangka Panjang

TAWAU – Kerajaan sedang mempercepatkan pelaksanaan projek tebatan banjir di Tawau susulan kejadian banjir kilat yang melanda beberapa kawasan termasuk Apas, Balung serta beberapa sekolah baru-baru ini.

Timbalan Menteri Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui berkata, antara projek utama yang akan dilaksanakan ialah Projek Pembersihan Sungai Tawau Fasa 1B, yang dijangka dianugerahkan dalam masa terdekat selepas tertangguh sejak 2018.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Dewan Terbuka SMK Balung dan Anugerah Kecemerlangan STPM 2025 di Dewan Terbuka SMK Balung, di sini.

Menurutnya, usaha mengatasi banjir tidak hanya tertumpu kepada kerja-kerja pembersihan sungai, malah turut melibatkan pemasangan tidal gate di beberapa sungai utama bagi mengawal kemasukan air pasang ke sistem saliran.

“Selepas kerja pembersihan sungai dilaksanakan, kita perlu memasang tidal gate. Apabila air pasang berlaku, pintu itu akan tertutup secara automatik bagi menghalang air daripada memasuki sistem saliran,” katanya.

Beliau berkata, pemasangan tidal gate dicadangkan di Sungai Tawau, Sungai Apas, Sungai Tanjung Batu dan Sungai Kinabutan, yang dikenal pasti sebagai lokasi strategik bagi mengurangkan risiko banjir ketika fenomena air pasang.

Menurut Lo, banjir kilat di Tawau berlaku bukan sahaja disebabkan hujan lebat, malah dipengaruhi air pasang yang menghalang aliran air keluar ke laut, sekali gus menyebabkan air melimpah ke kawasan penempatan.

Katanya, projek tebatan banjir Tawau kini berada pada peringkat tender dan berdasarkan maklumat yang diterimanya, kontrak dijangka dianugerahkan selewat-lewatnya pada September.

Beliau turut menzahirkan simpati kepada semua mangsa yang terjejas akibat banjir kilat baru-baru ini.

Mengulas kejadian yang menjejaskan SK Kuala Apas dan SK Batu 22, Lo berkata kedua-dua sekolah itu terletak berhampiran muara sungai dan sering berdepan risiko banjir ketika hujan lebat berlaku serentak dengan air pasang.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa Pejabat Parlimen Tawau telah meluluskan pembinaan tembok di kawasan kelas SK Kuala Apas sebagai langkah segera bagi mengurangkan kemasukan air ke dalam bangunan sekolah sementara menunggu pelaksanaan projek tebatan banjir yang lebih menyeluruh.

“Pemasangan tidal gate merupakan antara penyelesaian jangka panjang yang penting bagi mengurangkan risiko banjir kilat di Tawau, di samping pelaksanaan projek pembersihan sungai,” katanya.

Pada majlis sama, Lo turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Haji Raisin Saidin, atas kerjasama dalam pembangunan infrastruktur pendidikan di Tawau, termasuk pembinaan 12 dewan terbuka di sekolah-sekolah sekitar daerah itu.