Pasangan suami isteri ditahan selepas dakwaan bayi cedera akibat terjatuh

Pasangan suami isteri ditahan selepas dakwaan bayi cedera akibat terjatuh

TAWAU – Sepasang suami isteri yang mendakwa bayi perempuan mereka terjatuh tidak berjaya memperdaya pihak hospital apabila pemeriksaan perubatan mendapati mangsa mengalami kecederaan yang disyaki berpunca daripada penderaan, dalam kejadian di Batu 8, Jalan Apas, di sini, semalam.

Bayi berusia dua bulan itu dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Tawau oleh pasangan terbabit bersama nenek mangsa untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, pemeriksaan yang dijalankan oleh doktor mendapati bayi berkenaan mengalami beberapa kecederaan mencurigakan, termasuk kesan lebam, kesan gigitan serta bengkak pada bahagian kepala, sebelum satu laporan polis dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, pasangan terbabit pada mulanya memaklumkan kepada pegawai perubatan bahawa bayi berkenaan cedera akibat terjatuh.

Menurutnya, doktor kemudiannya dimaklumkan oleh nenek mangsa bahawa kecederaan yang dialami bayi itu dipercayai berpunca daripada perbuatan kedua-dua suspek.

“Doktor kemudian dimaklumkan oleh nenek mangsa bahawa kecederaan itu dipercayai berpunca daripada perbuatan kedua-dua suspek sebelum laporan polis dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan.

“Bertindak atas laporan itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menahan seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 30-an bersama isterinya yang berusia 18 tahun di pekarangan Hospital Tawau kira-kira jam 11.45 malam bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sumber : Polis Daerah Tawau