KUALA LUMPUR – Dunia seni tanah air kehilangan seorang lagi insan berbakat apabila pelakon veteran, Kamarool Haji Yusoff, atau lebih dikenali sebagai Cik Man, dilaporkan meninggal dunia pada Rabu.
Berita pemergian Allahyarham disahkan oleh pelawak dan pelakon Amir Raja Lawak menerusi satu hantaran di Facebook.
“Dimaklumkan, Kamarool Haji Yusoff atau lebih dikenali sebagai Farok dan juga Cik Man, baharu sahaja meninggalkan kita semua.
“Semoga arwah Abang Kamarool ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman, beramal soleh, solehah dan ahli syurga. Aamiin ya rabbal alamin,” tulisnya.
Sebelum ini, Amir memaklumkan bahawa pelakon berusia 67 tahun itu dimasukkan ke Hospital Tanah Merah selepas mengalami masalah saluran jantung tersumbat.
Menurutnya, keadaan Allahyarham ketika itu dilaporkan kritikal dan beliau terpaksa ditidurkan bagi membolehkan rawatan lanjut diberikan.
Pemergian Cik Man pastinya meninggalkan kesan mendalam kepada industri seni tanah air serta para peminat yang mengenali beliau menerusi pelbagai watak yang pernah dilakonkan sepanjang penglibatannya dalam dunia hiburan.
Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa Allahyarham, melapangkan kuburnya dan menempatkannya dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman.
Al-Fatihah.