PROTUNE Sabah catat jualan lebih RM1.4 juta, bukti potensi usahawan muda

PROTUNE Sabah catat jualan lebih RM1.4 juta, bukti potensi usahawan muda

KOTA KINABALU – Program Tunas Niaga (PROTUNE) Peringkat Negeri Sabah 2025 merekodkan jumlah jualan melebihi RM1.4 juta sepanjang tempoh sembilan bulan pelaksanaannya, sekali gus membuktikan potensi besar pembangunan keusahawanan dalam kalangan pelajar sekolah di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick, berkata syarikat-syarikat PROTUNE yang disertai sekolah di seluruh Sabah mencatatkan jumlah jualan keseluruhan sebanyak RM1,408,632.26 dengan keuntungan bersih RM380,098.41.

Beliau berkata, pencapaian itu mencerminkan kesungguhan, kreativiti dan komitmen pelajar serta guru pembimbing dalam mengurus dan membangunkan syarikat sekolah masing-masing.

Menurutnya, kejayaan program tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah jualan atau keuntungan semata-mata, sebaliknya turut melibatkan pembentukan keyakinan diri, kemahiran kepimpinan, komunikasi, penyelesaian masalah dan kerja berpasukan dalam kalangan peserta.

“Semoga pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh dapat melahirkan usahawan baharu yang mampu bersaing serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 dan Wawasan Sabah First.

“Saya juga bersetuju menambah hadiah kepada 15 sekolah finalis, iaitu tambahan dana RM2,000 bagi setiap sekolah menerusi Tabung Khas Pembangunan Keusahawanan Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan.

“Selain itu, dana tambahan RM10,000 turut disalurkan kepada syarikat sekolah penerima Anugerah PROTUNE 2025 melalui tabung khas yang sama,” katanya selepas merasmikan Majlis Penganugerahan Konvensyen PROTUNE Peringkat Negeri Sabah 2025, di sini, hari ini.

Program berkenaan dianjurkan oleh SEDCovest, anak syarikat Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO), dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS).

Ewon berkata, kerajaan negeri menerusi Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) terus menyokong pelaksanaan PROTUNE melalui peruntukan pembangunan keusahawanan yang disalurkan kepada SEDCovest bagi memastikan agenda pembangunan usahawan di peringkat sekolah terus diperkasakan.

Daripada 45 sekolah yang menyertai program itu di seluruh Sabah, sebanyak 15 sekolah berjaya mara ke peringkat akhir.

Beliau berkata, statistik alumni PROTUNE turut menunjukkan impak positif apabila 68 peratus peserta melanjutkan pengajian, 21 peratus telah bekerja, sembilan peratus sedang mencari pekerjaan dan dua peratus memilih menceburi bidang keusahawanan.

Katanya, statistik itu membuktikan PROTUNE bukan sahaja memperkenalkan bidang keusahawanan, malah membentuk keyakinan diri dan kemahiran insaniah sebagai persediaan ke alam pengajian tinggi, pekerjaan serta perniagaan.

“Dalam ekonomi yang sentiasa berubah, kita memerlukan lebih ramai anak muda yang mampu mencipta peluang pekerjaan. Justeru, PROTUNE amat penting dalam melahirkan usahawan muda yang inovatif, berdaya tahan dan berdaya saing,” katanya.

Pada majlis sama, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sepagaya, Lahad Datu diumumkan sebagai penerima Anugerah Syarikat PROTUNE Terbaik 2025, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM2,500 berserta piala dan sijil.