Bertahun Hadap Kesesakan Depan SM Islamiah, Jalan Pintas Ke Taman Guan Soon Bakal Jadi Solusi

Bertahun Hadap Kesesakan Depan SM Islamiah, Jalan Pintas Ke Taman Guan Soon Bakal Jadi Solusi

TAWAU – Masalah kesesakan lalu lintas yang berlarutan setiap kali waktu mengambil anak di Sekolah Rendah Islamiah Tawau bakal mendapat penyelesaian apabila satu laluan alternatif baharu dibuka bagi mengurangkan kebergantungan kepada laluan sedia ada.

Usaha tersebut dikongsikan menerusi Facebook rasmi Timbalan Menteri Wilayah dan Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Tawau, YB Datuk Lo Su Fui, yang memaklumkan pembukaan laluan baharu di sebelah sekolah sebagai alternatif kepada pengguna.

Masalah kesesakan di kawasan berkenaan sering berlaku terutama pada waktu puncak apabila ibu bapa datang mengambil anak masing-masing. Keadaan menjadi lebih ketara apabila jumlah kenderaan meningkat dan hanya satu laluan utama digunakan untuk keluar masuk kawasan sekolah.

Menerusi video berdurasi lebih seminit yang dikongsikan beliau, Datuk Lo Su Fui berkata laluan baharu itu diwujudkan dengan mengambil kira masalah kesesakan yang berlaku serta peningkatan jumlah kenderaan dari semasa ke semasa.

Laluan tersebut menghubungkan kawasan SM Islamiah ke Taman Guan Soon di Tanjung Batu, sekali gus menyediakan pilihan baharu kepada ibu bapa dan pengguna jalan raya.

Langkah itu mendapat reaksi positif daripada pengguna yang merasakan kewujudan laluan alternatif berkenaan mampu memudahkan urusan menghantar dan mengambil anak di sekolah.

“Sebagai ibu bapa, menghantar anak sekolah ini sangat mudah. Senang… syukurlah kalau begini, jadi kurang sudahlah kesesakan lalu lintas terutamanya pada waktu kemuncak,” kata seorang pengguna yang ditemu bual dalam video tersebut.

Pembukaan laluan alternatif ini diharap dapat memberikan kelegaan kepada ibu bapa, warga sekolah serta pengguna jalan raya di sekitar Tanjung Batu, khususnya ketika waktu puncak persekolahan.

Selepas bertahun-tahun berdepan kesesakan, penyediaan laluan baharu itu dilihat sebagai satu langkah praktikal bagi melancarkan pergerakan kenderaan dan memberikan pilihan laluan kepada pengguna.

Sumber: Facebook rasmi YB Datuk Lo Su Fui.