14 Tahun Menjadi Busker, Azri Terima Peralatan Baharu Selepas Insiden KKIA

14 Tahun Menjadi Busker, Azri Terima Peralatan Baharu Selepas Insiden KKIA

TAWAU – Selepas 14 tahun menjadikan muzik sebagai sumber rezeki, seorang pemuzik jalanan (busker) Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan, Azri bin Pinang, menerima peralatan persembahan baharu bagi membolehkannya kembali berkarya.

Perkara itu dikongsikan Menteri Kemajuan Sukan, Pembangunan Belia dan Ekonomi Kreatif merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, YB Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, selepas beliau meluangkan masa bertemu sendiri dengan Azri tengah hari tadi.

Azri sebelum ini terkesan dengan insiden cemas apabila sebuah kenderaan merempuh ruang terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) baru-baru ini.

Dalam kejadian berkenaan, kesemua peralatan muzik yang digunakan Azri sebagai sumber rezeki utama selama 14 tahun dilaporkan rosak sepenuhnya.

May be an image of text

Prihatin terhadap keadaan tersebut, Datuk Nizam menyerahkan sumbangan peralatan persembahan baharu yang merangkumi mixer, pembesar suara (speaker) dan mikrofon bagi menggantikan peralatan yang telah rosak.

Menurut beliau, Azri merupakan contoh usahawan seni kreatif yang gigih dan terus menjadikan bakat dalam bidang muzik sebagai sumber pendapatan untuk menyara kehidupan.

“Bantuan ini adalah komitmen kementerian untuk memastikan kelangsungan hidup beliau dan membolehkan beliau kembali berkarya demi menyara kehidupan seharian,” katanya.

May be an image of dais and text

Sumbangan berkenaan diharap dapat memberikan semangat baharu kepada Azri untuk kembali beraksi dan meneruskan aktiviti muziknya di KKIA.

Bagi Datuk Nizam, sokongan terhadap penggiat seni termasuk golongan OKU penting bagi memastikan bakat serta usaha mereka terus mendapat ruang untuk berkembang, di samping membantu mereka meneruskan kehidupan melalui bidang yang diceburi.

Semoga bantuan yang diterima menjadi suntikan semangat kepada Azri untuk kembali berkarya dan menghiburkan masyarakat dengan bakat muzik yang dimilikinya.