Undi pos luar negara merosot – Global Bersih, BERSIH gesa SPR bertindak segera

Undi pos luar negara merosot – Global Bersih, BERSIH gesa SPR bertindak segera

KUALA LUMPUR, 12 Ogos 2026 – Global Bersih dan BERSIH menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) melakukan reformasi segera terhadap sistem pengundian pos bagi rakyat Malaysia di luar negara menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.

Gesaan itu dibuat susulan penurunan ketara penyertaan pengundi luar negara dalam beberapa pilihan raya negeri terbaharu.

Menurut kenyataan bersama kedua-dua organisasi itu, jumlah undi pos Kategori 1B yang dikeluarkan kepada rakyat Malaysia di luar negara bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor merosot sebanyak 86.6 peratus, daripada 7,814 pada 2022 kepada hanya 1,044 pada 2026.

Peratusan pengundi luar negara daripada keseluruhan pengundi pos turut menurun daripada 21.2 peratus kepada 4.2 peratus.

Di Negeri Sembilan pula, jumlah pengundi pos meningkat daripada 159 pada 2023 kepada 343, namun jumlah pengundi pos Kategori 1B masih kurang tiga peratus daripada keseluruhan pengundi pos.

 

Sidang Media Global Bersih & Bersih | 12 Ogos 2026

Global Bersih dan BERSIH berkata angka rendah itu tidak seharusnya ditafsirkan sebagai tanda rakyat Malaysia di luar negara tidak lagi berminat untuk mengundi.

Sebaliknya, keadaan itu menunjukkan terdapat kelemahan dari segi pendidikan pengundi, mobilisasi, tempoh pilihan raya, komunikasi rasmi serta sokongan institusi.

“Pengundian pos luar negara bukan secara automatik. Pengundi perlu mengetahui bila permohonan dibuka, mengakses MySPR, memohon dalam tempoh ditetapkan, memahami prosedur, menerima dan melengkapkan kertas undi serta dokumen sokongan dengan betul sebelum menghantarnya kembali ke Malaysia mengikut tarikh akhir,” menurut kenyataan itu.

Kedua-dua organisasi berkenaan turut menegaskan bahawa masyarakat sivil tidak seharusnya menggantikan peranan kerajaan dalam memastikan hak mengundi rakyat di luar negara dapat dilaksanakan.

Global Bersih dan BERSIH sebelum ini menjalankan pelbagai usaha pendidikan serta mobilisasi pengundi luar negara, termasuk menyediakan soalan lazim dwibahasa, panduan pengundian langkah demi langkah, peringatan tarikh akhir dan bantuan menyelesaikan masalah melalui rangkaian diaspora Malaysia.

Bagaimanapun, mereka menegaskan hak demokrasi asas tidak boleh bergantung kepada kemampuan organisasi masyarakat sivil mendapatkan sukarelawan, dana atau kapasiti yang mencukupi pada setiap pilihan raya.

Cadangan reformasi

Bagi SPR, Global Bersih dan BERSIH mencadangkan permohonan Kategori 1B dibuka lebih awal atau sistem prapendaftaran berterusan diperkenalkan.

Mereka turut menggesa penyeragaman proses penghantaran dan penjejakan kertas undi, termasuk penyediaan nombor rujukan penjejakan bagi setiap pengundi luar negara serta prosedur jelas sekiranya kertas undi lewat, rosak atau hilang.

Selain itu, proses melengkapkan kertas undi dan Borang 2 dicadangkan supaya dipermudah dan diperjelaskan, manakala tempoh berkempen dicadangkan dilanjutkan kepada sekurang-kurangnya 21 hingga 25 hari.

Menurut mereka, tempoh 14 hari tidak mencukupi bagi proses pengeluaran, penghantaran antarabangsa, pengisian serta pemulangan kertas undi sebelum hari pengundian.

Wisma Putra dan misi diplomatik Malaysia di luar negara pula digesa mewujudkan mekanisme kerja rasmi bersama SPR, melantik pegawai terlatih yang menjadi titik hubungan pengundian luar negara di setiap misi serta menyediakan maklumat dwibahasa secara berterusan yang dihubungkan dengan SPR dan MySPR.

Mereka juga disaran menyalurkan maklumat pengundian yang disahkan melalui laman sesawang misi, media sosial, senarai e-mel, persatuan pelajar, persatuan profesional dan rangkaian diaspora.

Global Bersih dan BERSIH turut mencadangkan SPR menjalankan projek perintis model kertas undi isi sendiri (fill-in ballot) bagi menangani cabaran tempoh penghantaran antarabangsa.

Melalui model itu, pengundi yang diluluskan boleh menerima pakej kertas undi kosong sebelum hari penamaan calon dan melengkapkannya selepas penamaan calon berdasarkan senarai calon rasmi serta kod calon unik.

Bagaimanapun, mereka menegaskan sebarang projek perintis perlu melalui semakan undang-undang, prosedur pengesahan dan perlindungan sewajarnya bagi memastikan integriti pilihan raya terjamin.

Global Bersih dan BERSIH menyifatkan keputusan PRN Johor dan Negeri Sembilan sebagai amaran awal yang tidak boleh diabaikan menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.

Mereka menegaskan kemampuan rakyat Malaysia untuk menunaikan hak mengundi tidak seharusnya bergantung kepada lokasi tempat tinggal atau kemampuan organisasi masyarakat sivil membantu pada sesuatu pilihan raya.

“Global Bersih dan BERSIH menyeru SPR bekerjasama dengan pihak berkepentingan, menetapkan garis masa reformasi yang jelas dan memastikan penambahbaikan dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum akan datang,” menurut kenyataan itu.

#TawauKini