Nak Lari Marathon? Jangan Tunggu Hari Perlumbaan, Cikgu Sudir Kongsi Tip Penting Elak Kaki Melecet

Nak Lari Marathon? Jangan Tunggu Hari Perlumbaan, Cikgu Sudir Kongsi Tip Penting Elak Kaki Melecet

TAWAU – Persediaan menghadapi larian jarak jauh bukan sekadar soal latihan fizikal, malah pemilihan dan pengujian kelengkapan turut memainkan peranan penting bagi memastikan pelari dapat menamatkan perlumbaan dengan selesa.

Perkara itu dikongsikan Cikgu Sudir, penganjur Tawau Marathon, dalam podcast “Duduk Dulu Bah” by TawauKini, bersama hos Salam Undong, yang juga wartawan TawauKini.

Menurut Cikgu Sudir, kasut merupakan antara kelengkapan paling penting yang perlu diberi perhatian oleh pelari.

Katanya, pelari sebaiknya menggunakan kasut yang sudah biasa digunakan ketika latihan dan tidak digalakkan membeli kasut baharu semata-mata untuk dipakai pada hari perlumbaan.

“Jangan sekali-kali beli terus pakai. Walaupun mahu pakai kasut baharu, pastikan kasut itu sudah break in,” katanya.

Beliau menjelaskan kasut yang sudah digunakan dalam jarak tertentu, termasuk sekitar 50 kilometer, biasanya lebih selesa kerana pelari sudah mengetahui kesesuaiannya dengan kaki masing-masing.

Menurutnya, langkah itu juga penting bagi mengelakkan masalah seperti blister, luka dan ketidakselesaan pada kaki ketika berlari dalam jarak jauh.

Bukan kasut sahaja, katanya, kelengkapan lain seperti stoking, pakaian dan pakaian dalam turut perlu diuji terlebih dahulu sebelum hari perlumbaan.

Cikgu Sudir turut berkongsi pengalaman mengenai masalah geseran pakaian ketika berlari jauh. Peluh yang mengandungi garam, ditambah dengan geseran pakaian yang kasar, boleh menyebabkan luka dan pendarahan sehingga mengganggu pelari ketika menghampiri garisan penamat.

Justeru, beliau menekankan supaya semua kelengkapan yang bakal digunakan pada hari perlumbaan disediakan dan diuji lebih awal.

Dua minggu sebelum perlumbaan buat simulasi

Antara persediaan yang diamalkan ialah melakukan simulasi sekitar dua minggu sebelum acara.

Sebagai contoh, bagi pelari yang bakal menyertai larian 42 kilometer, simulasi boleh dilakukan dengan jarak sekitar 30 kilometer menggunakan kelengkapan yang sama seperti pada hari perlumbaan.

“Di situ kami akan buat seperti dalam larian maraton sebenar. Kau pakai kasut dan baju yang kau akan pakai pada hari kejadian,” katanya.

Simulasi tersebut membolehkan pelari membiasakan diri dengan kasut, pakaian, kelengkapan serta pemakanan atau nutrition yang akan digunakan ketika perlumbaan sebenar.

Menurutnya, persediaan awal juga penting untuk mengetahui sama ada sesuatu kelengkapan atau makanan sesuai dengan tubuh pelari sebelum hari pertandingan.

Larian jarak jauh bukan sekadar modal kasut

Dalam perbualan bersama Salam Undong, Cikgu Sudir turut mengingatkan bahawa larian jarak jauh memerlukan persediaan dari pelbagai aspek termasuk keperluan pemakanan dan minuman.

Katanya, pelari perlu mengambil kira kos nutrition, elektrolit, krim serta keperluan lain sepanjang perlumbaan.

“Siapa cakap berlari ini murah?” katanya secara berseloroh.

Perkongsian tersebut memberikan gambaran bahawa persediaan marathon bukan sekadar hadir dan berlari, sebaliknya memerlukan perancangan rapi supaya pelari lebih bersedia menghadapi cabaran jarak jauh.

Podcast Duduk Dulu Bah by TawauKini episod bersama Cikgu Sudir itu turut membuka ruang kepada pelari dan orang ramai untuk mendapatkan pandangan daripada individu yang terlibat secara langsung dalam penganjuran Tawau Marathon.

Nak tahu lebih banyak tip dan pengalaman di sebalik dunia marathon? Saksikan episod penuh “Duduk Dulu Bah” di platform TawauKini.