Dijual atas nama ikhtiar kesihatan, KKM dedah status sebenar ‘hydrogen inhaler’

Dijual atas nama ikhtiar kesihatan, KKM dedah status sebenar ‘hydrogen inhaler’

KUALA LUMPUR – Orang ramai khususnya warga emas dinasihati supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan manfaat kesihatan peranti hydrogen inhaler atau mesin hidrogen yang belum dibuktikan secara saintifik.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan peranti berkenaan masih belum diluluskan oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA).

Menurut KKM, semua peranti perubatan yang dijual atau digunakan di Malaysia perlu berdaftar dengan MDA mengikut Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737). Penjualan, pengedaran atau pengiklanan peranti yang tidak berdaftar merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang dan boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan.

KKM berkata pihaknya turut mengambil maklum mengenai aktiviti penjualan dan promosi peranti terbabit, termasuk dakwaan dalam klip video yang mempromosikan hydrogen inhaler sebagai ikhtiar untuk merawat penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihati supaya berwaspada terhadap aktiviti jualan yang menyasarkan golongan berumur dengan menggunakan tekanan atau rayuan emosi. Status pendaftaran peranti perubatan boleh disemak melalui laman web rasmi MDA sebelum sebarang pembelian dibuat bagi mengelakkan risiko penipuan atau kesan sampingan.

Sebarang aduan berkaitan penjualan peranti tidak berdaftar atau iklan yang mengelirukan boleh dikemukakan kepada KKM atau MDA.

Sumber : BERNAMA