TAWAU – Usaha memperkukuh perlindungan dan keselamatan kanak-kanak di Tawau bakal dipertingkat menerusi pembentukan satu jawatankuasa strategik melibatkan jabatan, agensi berkaitan serta Majlis Perbandaran Tawau (MPT).
Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, YB Datuk Rina Haji Jainal, berkata langkah berkenaan merupakan antara usaha ke hadapan bagi menjadikan Tawau sebuah daerah yang lebih selamat dan mesra kanak-kanak, termasuk menerusi aspirasi mendapatkan pengiktirafan Child Friendly City.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Advokasi: Kempen Kesedaran Perlindungan Kanak-Kanak Daripada Jenayah Seksual yang berlangsung di Auditorium Hospital Tawau, pagi ini.
Menurut beliau, usaha berkenaan memerlukan kerjasama strategik antara pelbagai pihak bagi memastikan aspek keselamatan, perlindungan dan kesejahteraan kanak-kanak diberi perhatian secara menyeluruh.
“Kita telah berbincang untuk membentuk satu jawatankuasa sebagai langkah ke hadapan dengan kerjasama strategik melibatkan jabatan, agensi dan pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Perbandaran Tawau untuk kita bergerak bersama-sama merealisasikan Child Friendly City,” katanya.
Datuk Rina berkata, pihaknya turut melihat peningkatan yang ketara dalam isu berkaitan perlindungan kanak-kanak sehingga tahun 2026, sekali gus memerlukan penelitian lebih terperinci terhadap isu semasa serta pemantauan yang mungkin masih mempunyai ruang untuk diperkukuhkan.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan mendapatkan maklum balas dan laporan daripada semua agensi berkaitan bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.

Dalam pada itu, beliau berkata banyak usaha telah dilaksanakan di Tawau, termasuk aspek keselamatan dan penyediaan persekitaran yang lebih kondusif untuk kanak-kanak.
Usaha tersebut, katanya, perlu terus diselaraskan dengan peruntukan dan kerjasama pelbagai pihak supaya pembangunan daerah dapat memberi penekanan lebih jelas terhadap keselamatan serta keperluan kanak-kanak.
Datuk Rina turut menyentuh keperluan menyediakan tempat selamat untuk kanak-kanak yang memerlukan perlindungan sebelum mendapatkan bantuan susulan.
Menurutnya, pihak negeri sedang melihat cadangan untuk menggunakan premis kerajaan yang tidak lagi digunakan dan menaik tarafnya sebagai pusat aktiviti atau perlindungan kanak-kanak.

Sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap usaha tersebut, beliau turut menyatakan sumbangan sebanyak RM10,000 bagi membantu usaha mendapatkan premis yang sesuai serta melengkapkan pasukan perlindungan kanak-kanak.
Beliau berharap usaha berkenaan bukan sekadar tertumpu kepada aspek perundangan dan perlindungan, tetapi turut menyediakan ruang selamat yang boleh menjadi tempat perlindungan sementara bagi kanak-kanak sebelum mereka menerima bantuan susulan.
Usaha menjadikan Tawau lebih selamat dan mesra kanak-kanak itu dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh perlindungan kanak-kanak, khususnya dalam menghadapi isu jenayah seksual dan cabaran keselamatan yang memerlukan tindakan bersama semua pihak.