Alhamdulillah, RM20,000 Untuk Daus Berjaya Dikumpul — Anak Sebatik Kini Selangkah Ke UK

Alhamdulillah, RM20,000 Untuk Daus Berjaya Dikumpul — Anak Sebatik Kini Selangkah Ke UK

TAWAU – Selepas kisah perjuangannya mendapat perhatian masyarakat, Muhammad Firdaus bin Abdul Rahman atau lebih mesra disapa Daus, kini boleh menarik nafas lega apabila sasaran kutipan dana bagi menampung kos visa pengajiannya ke United Kingdom (UK) berjaya dicapai.

Menurut Daus ketika dihubungi Pasukan TawauKini pagi ini, jumlah sumbangan yang diterima telah mencecah kira-kira RM20,700, melepasi sasaran asal RM20,000.

“Alhamdulillah, cukup sudah sumbangan Daus,” demikian perkongsian yang diterima daripada pihak Muafakat MRSM Tun Mustapha Tawau.

Perkembangan itu hadir selepas kisah anak muda berasal dari Kampung Mentadak Baru, Pulau Sebatik, Tawau tersebut mendapat perhatian ramai menerusi laporan TawauKini sebelum ini.

Daus, bekas pelajar MRSM Tun Mustapha Tawau, mencatat keputusan cemerlang 8A+ dan 1A dalam SPM 2024, sebelum memperoleh CGPA 4.00 di Pusat Asasi UIAM.

Kini, beliau bakal melanjutkan pengajian Master of Pharmacy di University of Sunderland, UK, bagi tempoh empat tahun.

“Saya akan pastikan kepercayaan ini dibalas dengan kejayaan”

Dalam perbualan bersama TawauKini, Daus merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan, bukan sahaja dalam bentuk kewangan tetapi juga doa, kata-kata semangat dan sokongan moral.

“Salamkan terima kasih saya kepada semua yang membantu sama ada dari segi financial support, doa dan words of encouragement untuk merealisasikan impian saya. Insya-Allah, saya akan pastikan semua kepercayaan dan sokongan yang diberikan akan saya balas dengan kejayaan yang cemerlang nanti,” katanya.

Beliau turut menitipkan satu pesanan kepada anak-anak muda supaya berani keluar daripada zon selesa dan memberikan keutamaan kepada pendidikan.

“Saya harap lebih ramai anak muda berani step out of their comfort zone dan prioritise their education kerana ilmu itu merupakan pelaburan untuk kehidupan masa depan,” katanya.

Dari Sebatik, membawa harapan yang lebih jauh

Kisah Daus menjadi satu contoh bagaimana sokongan masyarakat mampu menjadi penguat kepada anak muda yang sedang mengejar cita-cita.

Daripada sebuah kampung di Pulau Sebatik, Daus kini bakal membawa langkahnya lebih jauh ke UK untuk mendalami bidang farmasi.

Lebih menggembirakan, usaha kutipan dana itu turut mendapat perhatian Pengerusi MARA, Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi bin Dato’ Haji Dusuki, yang sebelum ini memberi respons bahawa perkara tersebut berada dalam perhatian beliau dan MARA selepas memaklumkan telah bercakap sendiri dengan Daus dan ibunya.

Dengan sasaran kewangan kini berjaya dilepasi, tumpuan Daus selepas ini adalah kepada persiapan terakhir sebelum memulakan perjalanan akademiknya.

Buat semua yang telah menyumbang, mendoakan dan memberikan kata-kata semangat, Daus mempunyai satu janji:

kepercayaan itu akan dibalas dengan kejayaan.

Dari Sebatik ke Sunderland, semoga langkah Daus dipermudahkan dan kisah kejayaannya kelak menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak muda Sabah untuk berani mengejar pendidikan dan impian mereka.