PKRC Bakal Diwujudkan Di Pulau Sebatik


Tawau : Satu perancangan bagi mewujudkan sebuah Pusat Rawatan Dan Kuarantin COVID-19 (PKRC) telah dirangka oleh Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Tawau. Pengwujudan PKRC ini akan digunakan bagi merawat pesakit berisiko rendah di Pulau Sebatik.

Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr G Navindran berkata rancangan itu dibuat memandang lokasi Pulau Sebatik jauh daripada PKRC yang ada di Tawau.

“Sekolah Kebangsaan Bergosong akan dijadikan pusat PKRC bagi memudahkan penduduk pulau yang positif risiko rendah mendapatkan rawatan di pulau itu.


“Pesakit tidak lagi menaiki bot selama 30 minit untuk mendapatkan rawatan, sekali gus mengatasi kekangan logistik untuk mengambil pesakit ke tanah besar (Tawau),” katanya di sini semalam. 

Menurutnya, terdapat lebih 100 kes positif dikesan di kawasan Pulau Sebatik dalam tempoh dua minggu lalu.


Peningkatan kes yang berlaku di Pulau Sebatik meningkat secara mendadak adalah disebabkan beberapa faktor seperti sambutan Hari Raya Aidiladha dengan kemasukan individu dari negara jiran. 

“Kaum kerabat mereka dari negara jiran datang beraya di Sebatik dan ada warga asing yang berjaya meloloskan diri masuk ke daerah Tawau semasa perayaan Aidiladha lalu.

“Kita dapat kesan melalui pengakuan warga asing yang didapati positif itu sendiri mengaku masuk ke sini hanya membayar tambang pengangkutan bot sebanyak RM250,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan individu yang menerima janji temu suntikan vaksin COVID-19 melalui aplikasi MySejahtera supaya menepati masa.

“Ia bagi mengelak kesesakan di pusat pemberian vaksin (PPV) seperti yang berlaku baru-baru ini sehingga memerlukan pengawasan pasukan polis di lokasi berkenaan.

“Kami sudah mengikut semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, namun masalah ini terjadi disebabkan ada diantara penerima vaksin yang datang tidak ikut masa janji temu,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, pihaknya akan melaksanakan program mobilisasi vaksin komuniti membabitkan kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Program sudah dimulakan di lokaliti PKPD Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Titingan selama dua hari sejak Sabtu lalu.

“Setakat ini hampir 1,000 penduduk PPR mengambil peluang mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 yang dibuat di kawasan mereka,” katanya.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *