“Terima kasih Bev” – Beverly Joeman hembus nafas terakhir, Sabah kehilangan aktivis yang cekal dalam perjuangan demokrasi dan masyarakat

“Terima kasih Bev” – Beverly Joeman hembus nafas terakhir, Sabah kehilangan aktivis yang cekal dalam perjuangan demokrasi dan masyarakat

KOTA KINABALU, 8 September 2026 – Aktivis rakyat dan demokrasi dari Sabah, Beverly Joeman meninggal dunia selepas hampir tiga bulan melawan barah darah dan tulang (Acute Myeloid Leukemia).

Beverly, atau lebih mesra dikenali sebagai ‘Bev’, menghembuskan nafas terakhir pada Isnin di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, menurut kenyataan media Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) bertarikh 7 September 2026.

Beverly merupakan bekas Naib Pengerusi BERSIH (Sabah) bagi tempoh 2016 hingga 2023, dan sepanjang penglibatannya dalam aktivisme, beliau dikenali sebagai antara individu yang teguh memperjuangkan keadilan, hak asasi manusia serta membela mereka yang ditindas.

Pemergian beliau meninggalkan tiga orang anak serta jaringan aktivisme yang kukuh di Sabah.

BERSIH menyifatkan Beverly sebagai seorang aktivis yang sangat cekal dan teguh dengan pendirian dalam menegakkan keadilan serta melawan kezaliman.

Menurut BERSIH, Beverly juga merupakan seorang yang menyayangi manusia tanpa mengira warna kulit, bangsa atau agama.

“Beliau semasa hayatnya cekal memperjuangkan hak asasi manusia dan melindungi mereka yang ditindas,” menurut kenyataan tersebut.

Pemergian Beverly turut dianggap sebagai satu kehilangan besar kepada negara, khususnya Sabah, yang kehilangan seorang pejuang demokrasi sejati.

Sepanjang hayatnya, pemikiran, pertuturan dan tindakan Beverly didedikasikan kepada usaha meningkatkan nilai seorang manusia serta memartabatkan negara agar terus berada di landasan keadilan, kebebasan dan kesejahteraan rakyat.

BERSIH berkata, legasi perjuangan Beverly bukan sahaja terletak pada jawatan yang pernah disandangnya, tetapi juga pada jalan yang telah dirintisnya bersama jaringan aktivisme di Sabah.

“Terima kasih atas budi baik dan jalan yang dirintis untuk aktivisme. Semoga tenang di sana,” titip BERSIH dalam ucapannya.

Dalam pada itu, seluruh keluarga BERSIH turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Beverly Joeman atas pemergian beliau.

Pemergian Beverly meninggalkan kesan kepada keluarga serta rakan-rakan seperjuangan yang pernah bersama beliau dalam perjalanan memperjuangkan demokrasi, keadilan dan hak asasi manusia di Sabah.

#TawauKini