3 Jam Dilancar, Tabung Solidariti Najib Cecah RM634,562.02

3 Jam Dilancar, Tabung Solidariti Najib Cecah RM634,562.02

KUALA LUMPUR – Tabung Solidariti Datuk Seri Najib Tun Razak mencatat kutipan sebanyak RM634,562.02 hanya dalam tempoh kira-kira tiga jam selepas dilancarkan.

Perkara itu dikongsikan Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi Facebook, yang memaklumkan ramai penyumbang tampil memberikan sumbangan serendah RM10 dan RM50 bagi tabung berkenaan.

“Masya-Allah! 3 jam pertama sejak Tabung Solidariti Najib Razak dilancarkan sudah mencecah RM634,562.02. Ramai yang menyumbang serendah RM10 dan RM50,” menurut perkongsian tersebut.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun CIMB Islamic – Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) bernombor 86-0488609-4, seperti dipaparkan dalam poster kutipan.

Tabung berkenaan dilancarkan UMNO susulan perkembangan terbaharu membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak, termasuk keputusan berkaitan permohonan supaya baki hukuman beliau dijalani menerusi tahanan rumah.

Dalam kenyataan media Presiden UMNO yang turut dikongsikan Dr Asyraf Wajdi, parti itu menyatakan pihaknya menyambut dengan penuh kesyukuran keputusan yang disebut membolehkan Najib menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah.

UMNO menyifatkan perkembangan itu sebagai sesuatu yang bermakna buat Najib dan keluarganya, selain memberi kelegaan kepada keluarga besar parti yang selama ini menaruh harapan serta menitipkan doa.

Susulan perkembangan tersebut, UMNO mengambil inisiatif melancarkan kutipan sumbangan bagi membantu Najib melunaskan denda berjumlah RM50 juta yang dikenakan.

Parti itu turut menyeru kepimpinan, ahli dan penyokong UMNO serta orang ramai yang ingin memberikan sokongan supaya menyumbang secara sukarela menerusi tabung berkenaan.

UMNO memaklumkan kutipan akan dilaksanakan secara telus, teratur dan mematuhi segala peraturan serta undang-undang yang berkuat kuasa.