TAWAU – Bakat murid Sekolah Rendah Tahfiz Sains Al-Farabi terus menyerlah menerusi penyertaan dalam Malaysia Techlympics Zon Sabah 2026, apabila pasukan EZ Bot – Nexus 1 berjaya meraih Naib Johan Cabaran Pemikiran Komputasi EZ Bot Sekolah Rendah.
Pencapaian itu sekali gus melayakkan pasukan berkenaan mewakili Sabah ke peringkat kebangsaan di Serdang, Selangor pada November depan.
Menurut Cikgu Asyraf ketika dihubungi TawauKini, kejayaan tersebut membabitkan empat murid berusia sembilan tahun iaitu Afra Mumtaz binti Muhammad Yusup, Nur Qairah Syuhada binti Hardiansa, Ainul Mardiyah binti Mohd Fauzy dan Muhammad Hafiez Tariq bin Abdul Wahab.

Selain kejayaan EZ Bot, pasukan CSI – Vanguard 1 turut mencatat keputusan membanggakan apabila meraih tempat keempat dalam Cabaran Siasatan Jenayah.
Pasukan CSI dianggotai Asmah Aleesya binti Patang dan Batrisya binti Sulaiman, masing-masing berusia 12 tahun.
Pasukan-pasukan berkenaan dibimbing oleh Cikgu Asyraf, Cikgu Aidil dan Cikgu Karmina.
Bukan sekadar pertandingan
Cikgu Asyraf berkata, penyertaan dalam Techlympics bukan semata-mata untuk mengejar kemenangan, sebaliknya menjadi platform untuk memupuk minat murid terhadap bidang STEM melalui aktiviti robotik yang menyeronokkan.
Menerusi EZ Bot, murid didedahkan kepada konsep asas pemikiran komputasi dan pengaturcaraan, selain belajar menyelesaikan cabaran secara sistematik dan bekerja sebagai satu pasukan.
Bagi Cabaran Siasatan Jenayah pula, murid didedahkan kepada proses pencarian secara sistematik di tempat kejadian, termasuk aspek pemerhatian dan pendokumentasian tempat kejadian.
Penyertaan itu juga memberi peluang kepada murid membina keyakinan diri, berkomunikasi, mengurus rasa gementar serta berani mencuba sesuatu yang baharu.
Sasar tembus pusingan awal kebangsaan
Dengan kejayaan di peringkat Zon Sabah, pasukan EZ Bot kini bakal membawa cabaran Al-Farabi ke peringkat kebangsaan di Serdang.
Pasukan itu menyasarkan untuk melepasi pusingan awal kebangsaan dengan sasaran sekurang-kurangnya berada dalam kelompok 10 terbaik.

Pihak sekolah sebelum ini turut menzahirkan penghargaan kepada guru pembimbing dan ibu bapa atas sokongan yang diberikan kepada anak-anak sepanjang pertandingan.
Bagi warga Al-Farabi, pencapaian tersebut bukan hanya mengenai kedudukan pertandingan, tetapi pengalaman yang membentuk keberanian, kerjasama dan keyakinan murid untuk menghadapi cabaran lebih besar.
Dengan membawa slogan “Melahirkan Teknokrat Huffaz”, anak-anak Al-Farabi kini bersedia meneruskan perjuangan ke peringkat kebangsaan.