Jerebu: Sekolah Di Tawau Ditutup Esok, PdPR Dilaksanakan

Jerebu: Sekolah Di Tawau Ditutup Esok, PdPR Dilaksanakan

TAWAU – Semua sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tawau akan ditutup pada Rabu, 14 Oktober 2026, susulan situasi jerebu yang melanda beberapa kawasan di negara ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menerusi pemakluman di Facebook rasminya berkata, penutupan turut melibatkan semua sekolah di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Selain itu, sekolah di Selangor yang berada di bawah PPD Hulu Langat dan PPD Sepang turut ditutup, manakala di Pahang melibatkan PPD Kuantan, PPD Pekan dan PPD Rompin.

Di Sarawak, penutupan membabitkan sekolah di bawah PPD Serian, PPD Sri Aman dan PPD Lubok Antu.

Menurut pemakluman itu, sekolah di negeri dan daerah lain yang tidak disenaraikan akan beroperasi seperti biasa.

Sepanjang tempoh penutupan, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan bagi memastikan pembelajaran murid dapat diteruskan.

Guru-guru serta Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) juga dibenarkan bekerja dari rumah (BDR) sepanjang tempoh berkenaan.

Ibu bapa dan penjaga di daerah terlibat disaran mengambil maklum pemakluman tersebut serta mengikuti arahan lanjut daripada pihak sekolah dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).