KUALA LUMPUR – Jerebu yang kelihatan tebal tidak semestinya menandakan tahap pencemaran udara berada pada paras tinggi, kerana keadaan penglihatan turut dipengaruhi faktor cuaca, kelembapan udara dan cahaya.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Udara Jabatan Alam Sekitar (JAS), Mohd Yunos Rais berkata, orang ramai tidak seharusnya menilai tahap pencemaran udara berdasarkan pemerhatian mata kasar semata-mata.
Sebaliknya, bacaan rasmi Indeks Pencemaran Udara (IPU) perlu dijadikan rujukan utama bagi mendapatkan gambaran lebih tepat mengenai kualiti udara di sesuatu kawasan.
Menurut beliau, keadaan atmosfera boleh mempengaruhi sejauh mana jerebu kelihatan, sekali gus menyebabkan persepsi orang ramai berbeza daripada bacaan pencemaran yang direkodkan.

“Apa yang kita lihat dengan mata kasar tidak semestinya menggambarkan tahap sebenar pencemaran udara.
“Pemerhatian kita sebenarnya dipengaruhi faktor cuaca, kelembapan udara serta cahaya yang dipancarkan. Oleh itu, kita tidak boleh menilai tahap pencemaran udara hanya berdasarkan ketebalan jerebu,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Mohd Yunos menjelaskan, bacaan IPU rasmi diperoleh melalui penggunaan instrumen khusus yang mengukur bahan pencemar di udara, sekali gus memberikan penilaian berdasarkan pengukuran dan bukannya pengamatan visual.
“Bacaan rasmi Indeks Pencemaran Udara amat penting kerana ia diukur menggunakan instrumen khas yang mengukur jumlah sebenar bahan pencemar di udara,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa menyemak bacaan IPU rasmi di kawasan masing-masing serta mengikuti saranan kesihatan yang dikeluarkan pihak berkuasa ketika keadaan berjerebu.
Walaupun jerebu kelihatan nipis atau tidak begitu ketara, orang ramai tidak seharusnya membuat kesimpulan mengenai kualiti udara tanpa merujuk maklumat pemantauan rasmi.