Kadangkala jadi Imam, Bilal, bersihkan surau – Mr Bie kenang kebaikan Allahyarham Abdul

Kadangkala jadi Imam, Bilal, bersihkan surau – Mr Bie kenang kebaikan Allahyarham Abdul

TAWAU – Ada insan yang tidak dikenali ramai, namun kehadirannya cukup dirasai oleh mereka yang pernah mengenalinya. Begitulah gambaran seorang lelaki dikenali sebagai Abdul yang pemergiannya meninggalkan kesan mendalam kepada sahabat dan masyarakat setempat di Tawau.

Guru dan penceramah di daerah Tawau, Ustaz Hasbi Muh Ali atau lebih dikenali sebagai Mr Bie, berkongsi rasa kehilangan itu menerusi satu hantaran di Facebook yang menggambarkan Allahyarham sebagai seorang insan sederhana, tetapi sentiasa bersedia berbakti kepada masyarakat.

Menurut Hasbi, Allahyarham bukanlah individu yang sering menjadi perhatian ramai, namun mempunyai sumbangan tersendiri dalam kehidupan masyarakat, khususnya di Surau Kompleks Sukan Tawau.

Katanya, apabila diperlukan, Allahyarham tidak pernah keberatan mengambil peranan sebagai imam atau bilal, selain turut membantu membersihkan surau berkenaan.

Malah, Allahyarham juga disifatkan sebagai seorang yang istiqamah menghadiri kuliah agama yang diadakan setiap hari, walaupun ada ketikanya hanya beliau seorang jemaah yang hadir sehingga sesi kuliah selesai.

Hasbi turut mengenang Allahyarham sebagai sahabat yang sentiasa ada ketika orang lain memerlukan bantuan.

Berita pemergian Allahyarham yang diterima secara mengejut membuatkan beliau merasai kehilangan besar, apatah lagi kebaikan yang dilakukan lelaki itu mungkin tidak diketahui ramai.

“Saya terfikir, mungkin kita tak kenal semua kebaikan yang dia buat, tapi Allah tahu semuanya. Kita tak tahu bagaimana kedudukannya di sisi Allah, namun saya berharap semoga segala amalnya menjadi asbab rahmat dan keampunan Allah buat dirinya,” katanya menerusi perkongsian itu.

Menurut Hasbi, seseorang tidak semestinya dikenali ramai untuk meninggalkan kesan mendalam dalam kehidupan orang lain. Ada kalanya, kebaikan yang dilakukan secara senyap dan tanpa mengharapkan pujian menjadi kenangan paling berharga buat mereka yang ditinggalkan.

mr bie

Beliau turut menyampaikan doa agar Allah SWT mengampunkan segala dosa Allahyarham, melapangkan kuburnya serta menempatkannya dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.

Dalam masa sama, Hasbi menyeru sahabat serta orang ramai supaya menghadiahkan bacaan surah Al-Fatihah dan mendoakan agar roh Allahyarham dikurniakan husnul khatimah.

Pemergian itu menjadi peringatan bahawa nilai seseorang bukan diukur melalui populariti atau perhatian masyarakat, tetapi juga melalui kebaikan kecil yang dilakukan secara ikhlas dan memberi manfaat kepada orang sekeliling.

Al-Fatihah.