Dua lelaki dan seorang wanita ditahan bersama syabu pada 19 Mei yang lalu. Mereka ditahan oleh polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSNJD) Tawau.
Menurut Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Bin Hussin, serbuan telah dilakukan lebih kurang jam 1.30 petang oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSNJD) Tawau di tepi jalan kawasan perniagaan Batu 3, Jalan Apas, Tawau.
Menerima Bungkusan Plastik
Hasil pemerhatian, Polis telah terlihat suspek menerima sebuah bungkusan plastik daripada penumpang dalam sebuah Bas berhenti-henti yang diparkir di tepi jalan.
Apabila suspek beredar daripada bas, pihak Polis telah mendekati suspek lelaki warga asing berusia lingkungan 30 tahun. Polis menjumpai satu bungkusan plastik warna oren di tangan kanan suspek.
15 Bungkus Plastik Lutsinar Jenis Syabu Dirampas
Pihak polis telah menjumpai 15 bungkus plastik lutsinar berisi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat berjumlah 753.73 gram di dalam bungkusan plastik hitam. Dadah tersebut bernilai RM57,000.00.
Polis juga berjaya menahan bas berhenti-henti yang memecut dan melarikan diri di tepi jalan kawasan Batu 5, Jalan Apas.
Suspek Ditahan Polis
Selain itu, seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 31 tahun dan seorang wanita warga asing berusia lingkungan 36 tahun ditahan dalam bas tersebut.
Kesemua suspek ditahan dan dibawa ke Pejabat BSJND Tawau untuk siasatan lanjut.
Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah dan pihak polis merampas sebuah kenderaan bas berhenti-henti yang digunakan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Sumber: Fb Polis Daerah Tawau