40 kampung di Pagalungan bakal nikmati hasil tanaman buah-buahan

40 kampung di Pagalungan bakal nikmati hasil tanaman buah-buahan

PAGALUNGAN: Penduduk di 40 kampung sekitar daerah kecil Pagalungan bakal menikmati manfaat jangka panjang menerusi pengagihan anak pokok buah-buahan di bawah Program Penghijauan Malaysia yang berpotensi membuka peluang ekonomi baharu kepada masyarakat luar bandar.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, pengagihan anak pokok durian, rambutan dan nangka itu bukan sekadar bertujuan menghijaukan kawasan kampung, malah merupakan pelaburan jangka panjang bagi meningkatkan sumber makanan dan pendapatan penduduk.

Menurutnya, tanaman berkenaan berpotensi memberikan pulangan ekonomi apabila mula mengeluarkan hasil, sekali gus membolehkan penduduk memanfaatkan sumber pertanian sebagai kegiatan ekonomi tambahan.

“Inisiatif penghijauan ini bukan sahaja penting untuk memelihara alam sekitar, malah memberi manfaat ekonomi kepada masyarakat setempat dalam jangka panjang,” katanya ketika menghadiri Program Kesedaran Awam Melalui Program Penghijauan Malaysia di sini.

Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, usaha itu turut membuka ruang kepada penganjuran pesta buah-buahan pada masa depan sekiranya tanaman yang diusahakan penduduk berjaya menghasilkan pengeluaran yang memberangsangkan.

 

Arthur menyampaikan benih pokok buah-buahan kepada penduduk kampung
Arthur menyampaikan benih pokok buah-buahan kepada penduduk kampung

Beliau berkata, program penghijauan berkenaan amat signifikan kepada kawasan Parlimen Pensiangan yang mempunyai keluasan hutan simpan yang besar serta memainkan peranan penting dalam usaha mengimbangi kesan perubahan iklim.

Menurutnya, pemeliharaan kawasan hutan perlu menjadi tanggungjawab bersama kerana khazanah alam itu mempunyai nilai yang jauh lebih besar dalam jangka panjang, khususnya sebagai kawasan penyerapan karbon berbanding keuntungan sementara daripada aktiviti penebangan hutan.

“Usaha menjaga kelestarian alam sekitar perlu dilaksanakan secara berterusan supaya generasi akan datang turut menikmati manfaat daripada sumber semula jadi yang masih terpelihara,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Arthur menegaskan bahawa agenda pemuliharaan alam sekitar tidak seharusnya dilihat secara berasingan daripada usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat, khususnya penduduk di kawasan pedalaman.

Katanya, pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas perlu bergerak seiring dengan pelaksanaan program kelestarian bagi memastikan masyarakat luar bandar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.

Antara inisiatif pembangunan yang diketengahkan termasuk menaik taraf kemudahan tamu, pembinaan kilang kopi, penyediaan pusat Tingkatan Enam serta pembinaan jaringan jalan raya yang lebih selesa untuk kegunaan penduduk.

Beliau berkata, kemudahan berkenaan penting bagi memperkukuh kegiatan ekonomi setempat, memudahkan pemasaran hasil pertanian serta meningkatkan akses masyarakat kepada peluang pendidikan dan pembangunan sosioekonomi.

Arthur turut berharap penduduk yang menerima anak pokok buah-buahan dapat memanfaatkan inisiatif itu dengan memastikan tanaman dijaga secara berterusan supaya mampu memberikan hasil yang baik pada masa depan.

Menurutnya, pendekatan pembangunan yang menggabungkan pemeliharaan alam sekitar, pertanian dan penyediaan infrastruktur diyakini mampu membantu membentuk komuniti luar bandar yang lebih berdikari serta mempunyai sumber ekonomi mampan.

Katanya, pelaksanaan Program Penghijauan Malaysia di Pagalungan membuktikan bahawa usaha memelihara alam sekitar juga boleh memberikan manfaat langsung kepada masyarakat apabila dirancang dengan mengambil kira keperluan ekonomi dan kesejahteraan penduduk.

“Pembangunan dan kelestarian alam sekitar perlu bergerak seiring demi memastikan masyarakat Pensiangan bukan sahaja menikmati kemudahan fizikal, tetapi turut memperoleh peluang ekonomi yang berterusan,” katanya.