TAWAU: Ahli Parlimen Kalabakan, YB Datuk Andi Suryady Bandy, menziarahi keluarga mangsa kebakaran di Taman Ria, di sini, kira-kira jam 11 pagi tadi bagi menyampaikan ucapan takziah serta memberi sokongan kepada keluarga yang kehilangan dua anak dalam kejadian berkenaan.
Kejadian kebakaran sebuah rumah yang berlaku awal pagi tadi mengorbankan dua beradik, Allahyarham Mohd Nor Fazryn bin Norman, 13, dan Allahyarhamah Nur Ailyn Nathania binti Norman, 10.

Kunjungan itu mencerminkan keprihatinan beliau terhadap nasib keluarga yang berdepan detik sukar susulan tragedi kebakaran yang berlaku awal pagi tadi.
Menerusi kenyataan di Facebook, Andi Suryady turut menzahirkan rasa dukacita atas kejadian yang meragut nyawa dua kanak-kanak berkenaan.

Beliau berkata, seluruh keluarga mangsa diharapkan diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ujian berat itu.
“Marilah kita bersama-sama mendoakan agar roh kedua-dua anak syurga ini dicucuri rahmat, ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beroleh syurga Allah SWT.
“Al-Fatihah,” katanya.
Andi Suryady turut mengajak orang ramai bersama-sama mendoakan agar roh kedua-dua mangsa dicucuri rahmat, manakala keluarga yang ditinggalkan terus diberikan kekuatan untuk melalui saat yang amat menyedihkan itu.