96.64kg syabu RM4.83 juta: Lima pegawai TUDM ditahan, sindiket guna aset tentera seludup dadah

96.64kg syabu RM4.83 juta: Lima pegawai TUDM ditahan, sindiket guna aset tentera seludup dadah

KUALA LUMPUR: Lima pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) antara 11 individu yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam sindiket pengedaran dadah yang dipercayai mengeksploitasi kemudahan penerbangan ketenteraan untuk menyeludup 96.64 kilogram (kg) syabu bernilai kira-kira RM4.83 juta.

Sindiket berkenaan dipercayai menggunakan kemudahan pengangkutan udara TUDM bagi membawa bekalan dadah dari Semenanjung Malaysia ke Sabah sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa, khususnya Filipina dan Indonesia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata 11 suspek terdiri daripada lima pegawai TUDM dan enam orang awam ditahan menerusi beberapa siri operasi di sekitar Lembah Klang dan Labuan pada 17 November lalu.

tudm

Menurutnya, kejayaan membongkar kegiatan itu adalah hasil kerjasama perisikan strategik antara JSJN Bukit Aman dengan Cawangan Provos Marsyal TUDM.

Katanya, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan dipercayai mula aktif sejak Julai lalu dengan mengeksploitasi kemudahan penerbangan ketenteraan bagi melaksanakan kegiatan penyeludupan dadah rentas sempadan.

“Dua daripada individu awam yang ditahan dipercayai berperanan sebagai koordinator yang mengatur dan menyelaraskan kegiatan pengedaran dadah oleh sindiket berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Hussein berkata, pihaknya kini giat mengesan seorang lagi lelaki warga Malaysia yang dipercayai menjadi ketua sindiket bagi membongkar keseluruhan struktur organisasi serta mengenal pasti individu lain yang mungkin mempunyai kaitan dengan kegiatan itu.

Beliau menyifatkan modus operandi sindiket berkenaan sebagai membimbangkan kerana memperlihatkan bagaimana kemudahan serta kepercayaan yang diberikan kepada individu tertentu dalam institusi keselamatan negara dipercayai dieksploitasi untuk kegiatan jenayah.

Dalam perkembangan berkaitan, lima pegawai TUDM yang ditahan direman selama tujuh hari bermula 18 hingga 24 November ini bagi membantu siasatan.

Enam individu awam pula direman antara dua hingga lima hari, manakala ujian saringan awal air kencing mendapati dua daripada mereka positif metamfetamina.

Seorang daripada suspek awam turut mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

tudm

Selain rampasan dadah, JSJN turut mengambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita dua kenderaan, masing-masing Honda CR-V dan Toyota Vios, yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM126,062.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan, jika tidak dijatuhi hukuman mati, sebatan tidak kurang 12 kali sekiranya disabitkan kesalahan.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan mendedahkan penglibatan pegawai TUDM, termasuk juruterbang, dalam kes penyeludupan dadah berskala besar.

Beliau menyifatkan perkara itu sebagai amat membimbangkan dan menegaskan tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat tanpa mengira pangkat atau kedudukan.