19 terima notis hadir mahkamah kerana merokok

TAWAU: Seramai 19 individu diberi notis hadir ke mahkamah selepas didapati merokok di kawasan larangan di Lapangan Terbang Tawau, semalam.
Notis itu dikeluarkan Pejabat Kesihatan Persekitaran Tawau (PKPT) melalui operasi khas Ops Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) Ke-11 membabitkan seramai 12 anggota penguat kuasa, yang berakhir jam 10 malam tadi.
Pegawai PKPT, Rahman Sampe, berkata tindakan itu diambil bagi memastikan larangan merokok di kawasan lapangan terbang dipatuhi seperti yang diwartakan mengikut PPKHT 2004.
Katanya, individu yang diberi notis terbabit perlu hadir di mahkamah bagi menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 32B di bawah kesalahan peraturan berkenaan.
“Bagaimanapun, kesalahan itu boleh diselesaikan di luar mahkamah dengan membayar kompaun sebanyak RM250 bagi setiap kesalahan,” katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, sepanjang operasi itu pihaknya turut membuat satu laporan polis apabila seorang perokok bertindak agresif dengan menghalang tugas anggota penguatkuasa kerana tidak berpuas hati selepas diberi notis.
Dalam pada itu, Rahman berkata operasi itu akan diteruskan dari semasa ke semasa untuk menguatkuasakan PPKHT 2004 demi menjaga kesihatan orang awam.
“Orang ramai juga digesa supaya membantu pihak berkuasa dengan membuat laporan ke PKPT berkaitan sebarang pelanggaran atau kesalahan merokok di dalam kawasan larangan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *