5 Perkara Menarik Pasar Tanjung Tawau ~ Pasar kering terbesar di Malaysia


oleh: Nasra

Orang Tawau mesti pernah pergi Pasar Sri Tanjung atau panggilan mesranya Pasar Sayur kan? Memang jadi tempat wajiblah untuk kita kunjungi lagi-lagi kalau ikut mamak kita berbelanja. Kalau belum pernah pergi tu belum cukup Tawau lagi kau tu.

Mari kita ambik tahu serba sedikit info pasal pasar kebanggaan kita ini!

1. SIAP DIBINA SEJAK 21 TAHUN YANG LALU.

Ada yang lahir tahun 1999? Nah sama umurmu dengan pasar sayur kita tu.

Pasar Sri Tanjung/ Pasar Sayur telah siap dibina pada tahun 1999 bulan Jun, dan mula digunakan pada bulan Oktober 1999 dengan kos anggaran sebanyak RM25 juta. Pasar ini mengambil masa lebih kurang 4 tahun dalam pembinaan dan pembinaannya bermula pada tahun 1995.

2. ANTARA PASAR TERTUTUP TERBESAR DI MALAYSIA.

Pasar sayur yang kita selalu pergi tu rupanya merupakan antara pasar tertutup yang terbesar di Malaysia! Pernah kamu kira berapa banyak gerai yang ada? Menurut beberapa laman web, terdapat kira-kira 6000 gerai yang aktif berjual-beli di dalam pasar itu. Angka ini kemungkinan bertambah tahun demi tahun dan penjual yang silih berganti. Hal ini menjadikan pasar ini merupakan antara pasar tersibuk di Malaysia kerana menjadi tempat kunjungan utama oleh masyarakat tempatan.

Siapa pernah sesat ndak jumpa mamaknya masa berbelanja di sana?


Sumber: https://www.travelogborneo.blogspot.com

3. SPOT WAJIB PELANCONG TEMPATAN DAN LUAR.


Pelancong tempatan dan luar negara seringkali menjadikan Pasar Sri Tanjung salah satu spot wajib untuk mereka kunjungi dan membeli belah sebelum berangkat balik. Malah kebanyakkan laman web meletakkan pasar ini didalam senarai wajib untuk dikunjungi ketika melancong ke Sabah. Selain dapat membeli-belah barangan keperluan seperti makanan segar dan kering dengan harga yang murah, mereka juga boleh mempelajari budaya dan sosio-ekonomi masyarakat tempatan.

Kalau ada kawan kita datang dari jauh-jauh dan tiada idea untuk bawak jalan ke mana, bawak ke sini. Selain boleh membantu ekonomi tempatan, kita juga dapat memperkenalkan keunikan Tawau kepada mereka. 

4. MACAM-MACAM ADA!

Pasar ini terbahagi kepada beberapa bahagian yang menempatkan pelbagai jenis barang keperluan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, makanan laut yang dikeringkan, keropok, periuk pelbagai saiz dan jenis, kopi asli, telur, kelapa parut dan santan, malah pakaian seperti baju t-shirt, baju tidur dan kain batik dan tidak lupa juga ubat-ubatan dan barangan kosmetik tempatan mahupun dari luar turut ada dijual. Lagi-lagi sekarang ada UTC. Bukan sahaja membeli-belah malah bermacam-macam jenis urusan juga dapat diselesaikan. Memang lengkap!

Walaupun kita belum ada pusat beli-belah yang besar seperti di tempat lain, tapi kita ada pasar yang besar untuk beli macam-macam benda. Gitu.

Kopi giling merupakan yang antara salah satu benda yang ‘legend’ masih dijual. Dari segi pembungkusan pun memang lain. Kebiasaan kopi-kopi hanya dibungkus menggunakan plastik jernih mengikut jenis dan berat. Kita boleh melihat mesin pengisar kopi di meja-meja yang menjual kopi. Kita turut boleh memilih biji kopi yang menjadi kesukaan kita dan penjual akan mengisar terlebih dulu biji kopi pilihan kita. Bau kopi pasar ini memang berlainan dengan kopi dari Starbuck dan kafe-kafe di luar. Keaslian aroma kopinya memang peh.

5. MENGGUNAKAN BAYARAN QRPay.

Tahukah anda, bermula 1 Mei yang lepas penggunaan kaedah pembayaran tanpa tunai secara QRPay mula dikuatkuasakan di Pasar Tanjung serta Pasar Ikan Tawau. Penggunaan Maybank QRPay itu tidak terhad kepada pengguna akaun Maybank sahaja, tetapi turut diluaskan kepada bank lain. Menarik kan, di pasar pun boleh guna kad sahaja. Ada yang sudah pernah cuba?

Mudah, cepat dan selamat. Lagi-lagi musim Covid19 ni.

Sumber:

http://www.etawau.com
https://ms.wikipedia.org/wiki/Pasar_Tanjung
https://www.utusanborneo.com.my/2020/04/20/pasar-utama-tawau-bakal-guna-transaksi-melalui-qrpay-biz

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *