Kota Kinabalu : Kementerian Kerja Raya Sabah akan menyediakan anggaran kos peruntukan untuk kerja-kerja pembaikan jalan yang runtuh dan akan dihantar kepada kerajaan pusat untuk pertimbangan. Meskipun jalan yang runtuh bukanlah melibatkan jalan utama antara Kota Kinabalu ke Ranau, tetapi kesannya akan berlaku dalam tempoh masa yang akan datang.
Sekiranya tidak dibaiki akan menjejaskan jalan utama. Selain itu, kerja-kerja pembaikan harus dilakukan dengan kadar segera kerana kawasan ini merupakan kawasan tumpuan pelancong dan menjadi kawasan parkir kenderaan bagi pengunjung yang melawat ke Taman Kinabalu. Perkara ini dinyatakan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Kejadian Tanah Runtuh
Kejadian tanah runtuh berlaku pada awal pagi Selasa ekoran hujan lebat yang turun sejak beberapa hari lalu dan mengakibatkan tanah runtuh. Tanah runtuh berlaku di kawasan letak kereta Taman Negara Kinabalu Kundasang. Runtuhan yang berlaku dianggarkan sepanjang 100 meter. Walaupun begitu, kedua-dua laluan masih boleh dilalui dan sekiranya diperlukan, pemandu boleh menggunakan jalan alternatif di Jalan Bundu Tuhan-Kinasaraban.
Tanah Runtuh Paitan – Kinabungan
Kejadian tanah runtuh tersebut mengakibatkan gelongsoran tanah dan menyebabkan bangunan kuaters loji air runtuh. Kawasan tanah runtuh hanyalah melibatkan kawasan kuaters loji air dan tidak melibatkan Loji Rawatan Air.
Kepada pemandu yang menggunakan jalan tersebut, diharapkan dapat mempertingkatkan keselamatan diri dan kenderaan yang dinaiki. Dengan keadaan hujan yang berterusan di Sabah, dikhuatiri akan mencetuskan lebih banyak gelongsoran tanah berlaku.