10 Asal Usul Nama Tempat Di Sabah Yang Ramai Tidak Tahu

Sabah merupakan antara negeri yang kaya dengan budaya dan sejarah. Nama-nama tempat yang terdapat di negeri ini selalunya mempunyai cerita unik tersendiri. Berikut adalah asal usul nama tempat di Sabah yang kebanyakkan orang tidak tahu !

Mari kita mulakan.

1. Tawau

Tahukah anda, nama Tawau berasal daripada perkataan “TAWAI” yang membawa maksud cara orang-orang dahulu memancing ikan. Hal ini kerana, Tawau dahulu merupakan perkampungan Nelayan.

Panggilan tersebut kemudian lebih dikenali dengan sebutan ‘TAWAO”. Ini disebabkan penduduk majoriti di sekitar perairan wilayah Kesultanan Melayu Islam Sulu ialah masyarakat Suluk. Tawao adalah sebutan mengikut panggilan masyarakat Suluk sebelum dikenali sebagai Tawau pada masa kini. 

2. Lahad Datu

Tempat ini mendapat nama kerana penghijrahan golongan datu-datu dari kerajaan Suluk yang diketuai oleh Datu Puti sebelum tahun 1879 akibat daripada penyerahan kuasa kawasan ini oleh Sultan Brunei kepada Sultan Suluk.

“Lahad” bererti tempat dan “Datu” membawa makna orang-orang kenamaan pada zaman dahulu. Perkataan “Lahad Datu” ini sebenarnya berasal daripada bahasa Bajau. 

3. Sandakan

“Sandakan” ialah istilah bahasa Suluk yang bermaksud “tanah yang digadai” (dinamakan oleh Cowie), namun kemudian tempat ini dikenali sebagai “Kampong German” kerana kehadiran sebilangan besar orang Jerman yang bertapak di sini. 

Penempatan ini merupakan sebahagian daripada pajakan yang diperoleh dari konsul Austria-Hungary Baron von Overbeck daripada Sultan Sulu pada tahun 1878. Setelah pajakan itu dibeli oleh rakan von Overbeck yang berbangsa British (Alfred Dent) Kampong German tidak lagi wujud bermula pada 15 Jun 1879. 


Residen British yang baru, William B. Pryer, memutuskan untuk tidak membina semula kampung itu, sebaliknya berpindah ke Buli Sim Sim pada 21 Jun 1879. Beliau menamakan penempatan baru beliau itu “Elopura”, yang bermaksud Bandar yang Indah. Beberapa tahun kemudian, namanya ditukar kembali ke “Sandakan”. 

Walaubagaimanapun, nama Elopura masih digunakan untuk salah sebuah kawasan Dewan Undangan Negeri di Sandakan.

4. Menggatal

Nama tempat ini seringkali menjadi kontroversi lebih-lebih lagi orang luar yang baru pertama kali mendengarnya.

Nama ‘Menggatal’ diambil sempena nama sejenis pokok mangga. Buah daripada pokok mangga tersebut apabila dimakan boleh menyebabkan kegatalan. Oleh sebab itu, tempat tersebut dikenali dengan nama “Mangga Gatal”. Lama kelamaan sebutan itu diringkaskan menjadi “Menggatal”.

5. Beaufort

Sebelum dinamakan Beaufort, tempat ini dikenali dengan nama “Padas” sempena nama sungai Padas yang mengalir di daerah ini. Kemudian, ditukar dengan nama Beaufort yang diambil sempena memperingati seoarng gabenor bernama Leicester P. Beaufort yang telah mentadbir Sabah antara tahun 1896 hingga 1900.

6. Penampang

“Penampang” berasal daripada perkataan Kadazan iaitu “Pampang” yang bermaksud “batu besar”. Ini kerana pada masa itu terdapat banyak batu besar di kampung tersebut. Lama-kelamaan sebutan “Pampang” bertukar menjadi Penampang.

7. Kota Belud

“Kota” bermaksud kubu pertahanan, dan “Belud” pula bermaksud bukit. Kota Belud dirujuk sebagai “Kubu Pertahanan di atas Bukit” yang berasal daripada bahasa Bajau.

8. Putatan

Pada suatu ketika dahulu, Putatan dikenali sebagai “Putat Town” oleh penjajah Inggeris. Namun di kalangan penduduk tempatan, “Putat Town” dikenali sebagai Putatan atas sebab sebutan dalam dialek tempatan hinggalah ke hari ini. 

Untuk pengetahuan, Putatan mendapat namanya daripada sejenis pokok yang digelar Pokok Putat yang tumbuh dengan banyak di sekitar daerah Putatan. 

9. Papar

“Papar” bermaksud tanah rata dalam bahasa Melayu Brunei. Hal ini disebabkan, Papar suatu ketika dahulu terletak di bawah pemerintahan Kesultanan Brunei. 


10. Tuaran


Nama Tuaran dipercayai berasal dari perkataan Melayu iaitu tawaran. Maksudnya ialah ‘jualan’ atau ‘tawar’ atau ‘diskaun’ atau ‘promosi’.

Nama ini dipercayai berasal daripada fungsi pasar dimana tawar-menawar selalunya berlaku. Aktiviti perniagaan giat dijalankan di tempat ini. Para penduduk bumiputera yang datang dari perkampungan tepi bukit dan genting bukit datang ke sini untuk menjual hasil tanaman mereka kepada para nelayan pantai dan masyarakat Cina pantai.

__

Okay itu sahaja, nanti kita sambung untuk daerah-daerah seterusnya di lain masa!


Kredit: Oh Bulan, blog setiap daerah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *