Sekolah Alternatif Tawau, Anjur Konvokesyen Pertama

Sejarah tercipta buat Sekolah Alternatif Tawau kendalian Borneo Komrad apabila Majlis Konvokesyen untuk pelajar-pelajar mereka diadakan buat kali pertama. Bertarikh 24 Oktober 2022, mereka telah mengadakan Majlis Konvokesyen yang berlangsung di Dewan Kg. Hidayat Batu 4. Majlis tersebut dihadiri oleh Dr. Huda selaku Penasihat Sekolah Alternatif Borneo Komrad, Wakil daripada Pertubuhan Ilmu Kebajikan Dakwah Malaysia, para ibubapa pelajar dan tetamu-tetamu yang lain.

Seramai 15 orang pelajar Sekolah Alternatif Tawau telah bergraduasi untuk sesi yang pertama kali ini. Sekolah Alternatif merupakan sebuah sekolah persendirian yang dikendalikan oleh Pertubuhan Borneo Komrad iaitu sebuah Badan Bukan Kerajaan yang memperjuangkan pendidikan kepada golongan marginal di Sabah. Sekolah ini telah dibuka di tiga tempat iaitu Semporna, Teluk Layan dan Tawau.

Sistem pendidikan disini adalah berbeza daripada silibus pendidikan di sekolah kerajaan. Disini mereka menekankan asas pendidikan seperti membaca, menulis dan mengira. Selain itu, mereka juga didedahkan dengan pembelajaran kemahiran seperti menjahit, bercucuk tanam, menghasilkan kraftangan dan bermain musik. Pelajar disini mempunyai bakat sampingan yang luar biasa seperti menari dan seni mempertahankan diri.

“Hari yang sangat bersejarah dalam hidupku! Terima kasih buat semua yang sentiasa membantu dan mendokong perjuangan ini✊ Pendidikan untuk semua!” Catatan Cikgu Azwan selaku tulang belakang kepada Sekolah Alternatif Tawau menerusi Facebook Rasmi beliau.

 

Kami warga kerja Tawaukini mengucapkan sejuta tahniah kepada Sekolah Alternatif Tawau atas penganjuran Majlis Konvokesyen yang pertama dan usaha yang dicurahkan dalam membantu masyarakat terutamanya para pelajar untuk mendapatkan pendidikan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *