Jalan Siapa Yang Lurus – Kongsi Jumaat

Dalam setiap hari yang kita lalui, pastinya Surah Al Fatihah menjadi surah yang dilazimi untuk dibaca. Kerna ianya dilafazkan di dalam setiap rakaat solat yang kita lakukan. Sekurang-kurangnya kita akan membaca lebih kurang 17 kali setiap hari bagi surah Al Fatihah.

Kepelbagaian tafsiran ayat ini tidaklah bertentangan antara satu dengan yang lain. Menurut Imam Al-Tabari, jalan yang lurus ialah jalan yang jelas dan terang. Namun begitu, lafaz para ulama dalam menghuraikan maksudnya adalah berbeza.

Tafsiran yang berbeza ini termasuk dalam perbezaan kepelbagaian yang tidak bertentangan. Perbezaan yang dilihat dari sudut yang berbeza tetapi masih sekata. Maka kita dapat memahami maksud jalan yang lurus adalah yang demikian iaitu jalan yang lurus ialah iman dan islam. Kedua-dua elemen ini telah terbentang pada dasarnya iaitu Al-Quran, manakala huraiannya dalam sunnah Nabi Muhammad. Ia juga dapat diikuti contoh pratikalnya daripada kehidupan para sahabat yang mendapat tarbiah daripada Nabi. 

Maka gabungan ini menjelaskan kesempurnaan jalan yang lurus yang perlu kita ikuti. Jalan yang tiada syak dan keraguan. Jalan yang mempunyai dasar mantap dan kukuh. Jalan yang ditunjukkan praktikalnya oleh Nabi dan dilanjutkan amalannya oleh para sahabat. 

Jalan Golongan Yang Diberi Nikmat

Kepelbagaian tafsiran ini juga dapat diperhalusi apabila Allah menyatakan bahawa jalan yang lurus ialah jalan golongan yang diberi nikmat. Golongan yang diberi nikmat bukanlah golongan yang diberi nikmat harta yang banyak. Qarun misalnya, individu yang mendapat harta yang banyak, namun harta tersebut tidak dapat membantunya mendekatkan dirinya kepada Allah Swt. 

Demikianlah golongan yang diberi nikmat bukanlah yang diberi pangkat dan kuasa. Firaun dan Namrud dua contoh individu yang diberi kuasa. Namunpun begitu, kuasa menjadikan mereka sombong dan takbur. 

Pada pandangan mata kasar, dapat kita katakan seseorang yang mempunyai harta mendapat nikmat berbanding si miskin, begitu juga dengan seseorang yang mendapat nikmat kuasa, namun apabila dilihat disebalik nikmat yang diberikan, perlu difahami bahawasanya nikmat tersebut bukanlah maksud yang sebenar dalam memahami konteks yang dibincangkan. 

Bagaimana Mengikuti Jalan Yang Lurus?


Bagi tujuan mengikuti jalan yang lurus iaitu jalan golongan yang diberi nikmat oleh Allah, maka kita wajib memahami jalan mereka. Jalan yang lurus ialah Al-Quran, maka kita mesti memahami Al-Quran.

Jalan yang lurus ialah jalan Nabi Muhammad, maka kita perlu untuk kita memahami sirah dan sunnah Rasulullah. Jalan yang lurus ialah jalan para sahabat maka wujud kepentingan untuk kita mengkaji sirah mereka. 

Dakwaan bahawa kita berada di jalan yang lurus namun jahil dengan Al Quran dan Sunnah Nabi dan contoh para sahabat merupakan satu dakwaan yang wajar diperhatikan semula. 


Sumber : Penulisan Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *