Nostalgia Di Kampung Batu Payung Tawau

Selamat kembali ke laman Tawaukini untuk pembacaan artikel berkenaan Bandar Tawau yang tercinta. Pada penulisan kali ini, kita akan bersama mengimbau kembali nostalgia ataupun sejarah bagi sebuah kampung di Tawau iaitu Kampung Batu Payung Tawau.

Lokaliti Kampung Batu Payung


Kampung ini terletak 15 kilometer dari Bandar Tawau ataupun Pusat Bandar Tawau. Kampung Batu Payung merupakan sebuah kampung yang didiami oleh kebanyakan orang Melayu yang terdiri daripada pelbagai etnik seperti Suluk, Tidung, Banjar, Bugis dan lain-lain. Kampung ini betul-betul terletak di Pinggiran Pantai menghadap Laut Celebes. 

Susunan batu yang seakan payung


Pada mulanya, di awal era sebelum tahun 1960-an, Kampung Batu Payung hanya boleh dihubungkan ke pusat bandar melalui Jalan Laut seperti Perahu dan Sampan. Sampan yang digunakan ketika itu hanyalah sebuah sampan yang dilengkapkan dengan layar dan sampan akan didayung menuju ke kampung tersebut. Selain daripada berdayung menggunakan sampan, masyarakat juga boleh menuju ke kampung ini dengan berjalan kaki melalui tepian pantai. 

Sekolah Di Batu Payung


Dalam tahun 1959, semua penduduk Kampung Batu Payung, Kampung Tinagat dan Kampung Mambalua bekerjasama bagi mengadakan gotong-royong untuk membina sebuah bangunan sekolah. Program gotong-royong ini diadakan dibawah kelolaan Allahyarham OT Hj. Junaidi Bin Abuban. 

Native Voluntary School Batu Payung

Sekolah pertama yang didirikan dibuat dengan beratapkan nipah dan berdinding Kajang iaitu dinding yang diperbuat daripada Daun Nipah. Keluasan bagi bangunan yang didirikan hanyalah berukuran 30 x 40. Setelah lebih kurang setahun sekolah tersebut dibuat, pada tahun 1960, sekolah tersebut mula beroperasi dan diberikan nama NVS Batu Payung ataupun Native Voluntary School Batu Payong. Sekolah tersebut kemudiannya diambil alih oleh kerajaan dan diberi nama GPS Batu Payung atau Government Primary School Batu Payung. Setelah beberapa tahun kemudian iaitu pada tahun 1964, satu bangunan telah siap dibina diatas tapak tanah orang kampung yang dibeli oleh kerajaan dan menempatkan Sekolah Rendah Kerajaan Batu Payung ataupun kini dikenali dengan SK Batu Payung. 


Peristiwa Gempar Di Batu Payung


Pada sekitar tahun 1960-an, Malaysia terlibat dengan Kempen Suruhanjaya Cobbold . Suruhanjaya Cobbold ialah suruhanjaya yang dibentuk bersama oleh kerajaan British dan Malaya pada tahun 1962 untuk memungut dan menentukan pandangan rakyat Borneo Utara (sekarang Sabah dan Labuan) dan Sarawak sama ada menyokong cadangan untuk membentuk atau membuat Persekutuan Malaysia yang terdiri daripada Malaya, Singapura, Borneo Utara, dan Sarawak.

Namun, kempen tersebut diiringi dengan perasaan tidak berpuas hati daripada negara jiran Indonesia dan mereka telah melancarkan Konfrantasi Ganyang Malaysia pada tahun 1962 sehingga 1966. 

Disebabkan lokasi Kampung Batu Payung yang terletak berhadapan dengan Laut Celebes, kedudukan kampung ini berada tidak jauh daripada negara jiran. Perkara tersebut menyebabkan Kampung Batu Payung menjadi salah satu lokasi panas yang terlibat dengan konfrantasi yang dilakukan oleh negara jiran. Ramai tentera komanwel diletak dikawasan kampung tersebut sebagai langkah untuk berjaga-jaga terhadap sebarang ancaman yang dilakukan.

Ahli Suruhanjaya terdiri daripada dari kiri Mohd.Ghazali Shafie, Wong Pow Nee , Lord Cobbold , Sir David Watherston dan Sir Anthony Abell ( dari Arkib Negara )

Ketika itu, Tawau menjadi antara salah satu sebab berlakunya konflik diantara pihak Indonesia dan Malaysia, kedudukan Tawau yang berada disempadan Indonesia-Malaysia menjadi rebutan buat kedua-dua negara. Namun, hal tersebut dapat diselesaikan dengan aman diantara Tun Adam Malik iaitu Menteri Luar Indonesia bersama dengan Tun Hj Abdul Razak selaku Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika itu. 

Demikianlah antara kisah yang dapat dikongsikan pada minggu ini melalui ruangan slot Dulu-Dulu Di Tawau. Diharapkan artikel ini dapat memberikan sedikit input dan menanamkan kasih sayang kita terhadap Daerah Tawau yang tercinta. 

Sumber : http://ysffahmad.blogspot.com/2012/03/batu-payong-yang-ku-kenali-bahagian.html

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *