Harga Barang Naik, Ini Antara Langkah Proaktif Awal KPDNHEP

Isu kenaikan barang merupakan antara isu yang sering berlaku saban tahun. Menurut beberapa peniaga kecil, kenaikan harga barang sebenarnya telah mula dirasai sebulan dua kebelakangan ini. 

Harga barang mentah mula meningkat sedikit demi sedikit sehinggakan ramai peniaga terpaksa menaikkan harga jualan mereka. Hal ini amat membimbangkan kerana kesan daripada kenaikan barang ini, ramai peniaga-peniaga kecil mula gulung tikar akibat ketiadaan pelanggan. 

Selain itu, keluarga yang berpendapatan rendah juga turut terjejas teruk. Ayam, sayur-sayuran dan telur adalah antara bahan mentah yang mengalami kenaikan harga ketara. 

Bayangkan harga sepapan telur boleh mencecah sehingga RM17! Walhal, telur merupakan antara pilihan makanan yang sering dijadikan lauk utama terutamanya bagi golongan yang berpendapatan rendah.

Sekiranya hal ini berterusan, bagaimanakah nasib kita sebagai rakyat marhaen?


Menurut laporan Astro Awani, antara beberapa faktor yang dikenal pasti selain fenomena global, adalah masalah yang berlaku pada rantaian pembekalan, iaitu daripada pembekal (penternak dan petani), pemborong, dan peruncit – termasuk masalah logistik.

Susulan kenaikan harga yang merunsingkan masyarakat itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada sidang Parlimen hari ini mengumumkan tiga langkah proaktif bagi menangani isu berkenaan.

Tiga Langkah Proaktif KPDNHEP


Pertama – Bagi memastikan kenaikan harga barangan disebabkan ketidakcukupan atau ketidakberadaan barangan dalam pasaran, Kementerian akan terus menguatkuasakan peruntukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Kedua – Bagi menangani aktiviti mengambil untung yang tidak munasabah, Kementerian menguatkuasakan peruntukan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Di pihak pengguna pula, sekiranya berlaku pengenaan harga yang tidak munasabah, hak pengguna dibela di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999,” katanya lagi.

Ketiga – KPDNHEP terus menggerakkan lebih 1,000 Pegawai Pemantau Harga (PPH) secara harian untuk memantau harga 480 item di 1,500 premis seluruh negara untuk memastikan pergerakan harga berlaku pada situasi yang munasabah.

Selain itu, Nanta Linggi berkata, Kementerian akan memanjangkan tempoh dan memulakan pelaksanaan Skim Kawalan Harga Maksimum Musim Perayaan (SKHMP) lebih awal menjelang perayaan Krismas.

“Tarikh pelaksanaan skim kawalan harga ini akan diumumkan oleh pihak KPDNHEP dalam tempoh terdekat,” katanya lagi.





Sumber: Astro Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *