TAWAU – Sebanyak 777 peserta telah mengambil bahagian dalam Larian Santai Tanjung Batu 2.0, satu inisiatif komuniti yang berlangsung meriah bersempena sambutan Pesta Kaamatan tahun ini. Program yang diadakan oleh Kelab Belia Tanjung Batu ini mendapat sambutan luar biasa daripada warga Tawau. Larian ini juga menunjukkan potensi besar dalam pembangunan sukan serta pengukuhan perpaduan masyarakat setempat.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran YB Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah dan ADUN Apas. Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada penganjur atas kejayaan menganjurkan acara berskala besar ini. Beliau turut menyifatkan program seperti ini bukan sahaja menyemarakkan semangat kesukanan, tetapi juga membina jalinan silaturahim yang erat dalam kalangan komuniti.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Kelab Belia Tanjung Batu yang berjaya menganjurkan Larian Santai 2.0 sempena Pesta Kaamatan tahun ini. Program sebegini bukan sahaja bermanfaat dari sudut kesihatan, tetapi turut menyatukan masyarakat Tawau dalam suasana harmoni,” katanya dalam ucapan perasmian.
Walaupun ia hanya sekadar larian santai sejauh 7 kilometer, terdapat peserta yang berjaya menghabiskan larian dalam masa antara 9 hingga 20 minit. Hal ini menunjukkan tahap kecergasan yang tinggi serta potensi besar untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi dalam bidang olahraga.
“Ini adalah petanda jelas bahawa ramai atlet berpotensi dari Tawau yang boleh dibangunkan untuk mewakili negeri atau negara. Apa yang lebih penting ialah kesedaran tentang kepentingan bersukan untuk kesihatan dan kecergasan dalam kehidupan seharian,” ujar beliau lagi.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Selain menyentuh soal pembangunan sukan, YB Datuk Nizam turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah bekerjasama menjayakan program ini. Termasuk agensi kerajaan, NGO, RELA dan sukarelawan keselamatan.
Beliau juga menegaskan bahawa kerajaan sentiasa terbuka untuk menyokong aktiviti komuniti yang memberi manfaat kepada masyarakat. Hal ini tertakluk kepada kertas cadangan lengkap yang dikemukakan oleh pihak berkaitan.
Acara Larian Santai Tanjung Batu 2.0 ini dilihat bukan sahaja sebagai aktiviti riadah, tetapi juga sebagai simbol kekuatan komuniti luar bandar. Terutama dalam membina semangat kesatuan, kesihatan dan potensi kecemerlangan sukan yang boleh dibanggakan.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.